ARMADA Bersatu Malaysia menyifatkan keputusan Mahkamah Majistret Kuala Lumpur membebaskan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham sebagai kemenangan kepada keadilan serta hak asasi rakyat Malaysia.
Ketua Penerangannya, Harris Idaham Rashid berkata, keputusan itu membuktikan pihak pendakwaan gagal mewujudkan kes prima facie terhadap Hilman pada akhir kes pendakwaan.
“Armada Bersatu Malaysia menzahirkan rasa syukur dan menyambut baik keputusan mahkamah yang mengekalkan keadilan buat YB Muhammad Hilman Idham,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kes berkenaan sebelum ini membabitkan pertuduhan terhadap Muhammad Hilman susulan kenyataan yang didakwa menimbulkan kegentaran awam menerusi platform TikTok dan dibicarakan di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.
Prosiding berkenaan berakhir hari ini selepas mahkamah memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie, sekali gus Muhammad Hilman tidak perlu dipanggil untuk membela diri.
Menurut Harris Idaham, Armada Bersatu sejak awal konsisten dengan pendirian bahawa pertuduhan terhadap Muhammad Hilman merupakan satu bentuk tekanan politik yang bertujuan menyekat kelantangan suara anak muda dalam sistem demokrasi negara.
“Kegagalan pihak pendakwaan membuktikan kes ini menjadi bukti jelas bahawa tindakan beliau sentiasa berlandaskan undang-undang dan hak kebebasan bersuara yang dijamin Perlembagaan,” katanya.
Harris Idaham turut merakamkan penghargaan kepada barisan peguam bela yang bertungkus-lumus sepanjang perjalanan kes berkenaan, selain ahli parti dan penyokong yang memberikan solidariti moral kepada Muhammad Hilman.
“Keputusan hari ini adalah kemenangan buat seluruh pejuang keadilan dan hak asasi rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, Armada Bersatu akan terus berdiri teguh mempertahankan kepimpinan parti demi membina masa depan Malaysia yang lebih adil dan berintegriti.





