SEORANG pekerja ladang sawit terlepas hukuman mati apabila Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini melepas dan membebaskannya daripada dua tuduhan mengedar methamphetamine seberat lebih 77 kilogram (kg) membabitkan nilai lebih RM6 juta lima tahun lalu.
Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed membuat keputusan itu terhadap tertuduh, Leong Hoi Aw, 52, selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan, sekali gus dilepas dan dibebaskan tanpa perlu dipanggil untuk membela diri.
Abdul Wahab bagaimanapun memerintahkan seorang lagi tertuduh kes sama, Liew Wan Wah, 45, yang juga seorang peniaga untuk membela diri atas pertuduhan mengedar dadah sama yang ditemukan di but kereta mewah Bentley, lapor Harian Metro.
Dalam penghakimannya, Abdul Wahab menyatakan bahawa Hoi Aw hanya berperanan sebagai penumpang kereta Bentley yang membawa dadah itu dan ia dipandu oleh Wan Wah.
Mahkamah mendapati tiada bukti menunjukkan Hoi Aw mempunyai akses kepada kunci kereta atau mengetahui kewujudan ruangan rahsia di bahagian but kereta itu yang menyimpan dadah methamphetamine seberat 74,477.8 gram, selain 3,267.0 gram (g) dadah sama yang disimpan di bahagian simpanan tayar tambahan kereta.
Abdul Wahab mendapati hanya Wan Wah yang mempunyai kawalan dan jagaan terhadap kereta Bentley terbabit, dengan rekod menunjukkan tertuduh adalah individu yang menyewa atau membayar untuk kenderaan itu.
Mengikut dua pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa secara bersama mengedar dadah berbahaya methamphetamin seberat 77,744.8g di dua lokasi iaitu di Plaza Tol Gopeng arah masuk ke Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Kampar dan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar antara tempoh 7.30 malam 23 Jun 2021 hingga jam 2 pagi keesokannya, 24 Jun tahun sama.
Kedua-dua kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Yasinnisa Begam Seeni Mohideen.
Wan Wah diwakili peguam P Ravee manakala Hoi Aw diwakili Charan Singh Kartal Singh.
Seramai 15 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan bersumpah sepanjang kes itu dibicarakan.





