TH umum kos tunai haji kekal RM33,300 seorang jemaah

LEMBAGA Tabung Haji (TH) hari ini mengumumkan kos mengerjakan haji kekal pada RM33,300 seorang bagi musim 1448H/2027M, tidak berubah untuk tahun keempat berturut-turut.

Kadar bayaran haji bagi jemaah Muassasah turut dikekalkan seperti tahun sebelumnya meskipun berdepan tekanan inflasi, ketidaktentuan ekonomi global serta penambahbaikan kemudahan di Tanah Suci.

Bagi jemaah B40 yang menerima bantuan kerajaan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), bayaran ditetapkan RM15,000 atau 45 peratus daripada kos sebenar.

Kumpulan itu menerima Bantuan Kewangan Haji (HAFIS) sebanyak RM17,300 serta bantuan kerajaan RM1,000 bagi setiap jemaah.

Bakal jemaah M40 pula perlu membayar RM23,500, bersamaan 71 peratus daripada kos haji, dengan HAFIS sebanyak RM9,800 atau 29 peratus.

Jemaah T20 yang berpendapatan individu sekurang-kurangnya RM15,000 sebulan pula perlu membayar kos penuh RM33,300 seorang.

Kira-kira RM234 juta diperuntukkan bagi HAFIS untuk musim haji kali ini, manakala jumlah bantuan terkumpul sejak diperkenalkan pada 2001 sudah melebihi RM2.8 bilion.

Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain berkata, kemampuan TH mengekalkan kos haji, menyediakan Bantuan Kewangan Haji dan pada masa sama meningkatkan kualiti perkhidmatan turut disokong oleh kedudukan institusi yang semakin kukuh hasil pengurusan kewangan berdisiplin, pengurusan risiko yang dipertingkatkan dan penambahbaikan tadbir urus secara berterusan.

Katanya, kekuatan kewangan TH perlu dilihat dalam konteks amanah yang lebih besar.

“Setiap keputusan perlu mengimbangi kepentingan jemaah hari ini dengan kepentingan jutaan pendeposit yang sedang menabung bagi tujuan haji pada masa hadapan.

“Kerajaan Arab Saudi telah menetapkan kuota rasmi jemaah haji Malaysia sebanyak 31,600 orang. TH merakamkan penghargaan kepada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi atas kerjasama yang diberikan.

“Penetapan lebih awal memberi ruang kepada bakal jemaah membuat persediaan kewangan, kesihatan dan ilmu dengan lebih teratur. Pada masa sama, ia menyokong usaha TH membudayakan konsep istito’ah supaya persediaan menunaikan haji bermula jauh lebih awal daripada tarikh menerima tawaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata, hampir 90 peratus kos haji membabitkan penginapan, penerbangan dan perkhidmatan di Tanah Suci.

Katanya, TH mengekang kenaikan kos penerbangan menerusi kontrak jangka panjang selama lima tahun bagi mengurus risiko ketidaktentuan harga, selain menurunkan kos sewaan hotel baharu melalui rundingan terus.

“Cabaran besar kini adalah peningkatan harga dan kos pembekalan minyak susulan konflik Timur Tengah,” katanya.

TH turut memaklumkan kuota rasmi jemaah haji Malaysia yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi bagi musim 1448H/2027M adalah 31,600 orang.

Surat tawaran kepada 31,600 bakal jemaah akan dikeluarkan secara berperingkat mulai 21 September ini, dengan bakal haji perlu mempunyai simpanan sekurang-kurangnya RM15,000 serta lulus pemeriksaan kesihatan.

Kursus Asas Haji pula akan bermula 25 September di lebih 200 masjid seluruh negara bagi membantu bakal jemaah membuat persediaan sebelum menunaikan ibadah haji.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here