Curi 65 barangan pasar raya, lelaki didenda RM2,000

SEORANG pembantu pentadbiran didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Shah Alam selepas mengaku bersalah mencuri 65 barangan bernilai RM730.97 dari sebuah pasar raya, Disember tahun lalu.

Majistret Cynthia Noor Haizean Sulaiman turut memerintahkan Mohd Aslizan Mustafa Maarof, 39, dipenjara 10 hari jika gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bekerja di sebuah syarikat penghantaran bateri kenderaan didakwa mencuri 65 barangan bernilai RM730.97 di sebuah pasar raya di Subang Jaya kira-kira jam 7 malam pada 20 Disember tahun lalu.

Antara barangan yang dicuri ialah ubat gigi, ayam segar, minyak angin bayi, susu formula bayi, mi segera, kiub pati ayam, kek lapis dan putik kapas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Dalam mitigasi, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), S Vijeswari Devi memaklumkan tertuduh adalah penanggung tunggal kepada tujuh sekeluarga, termasuk seorang anak yang menghidap autisme.

Katanya, tertuduh turut mempunyai masalah jantung dan akan kehilangan punca pendapatan sekiranya dikenakan hukuman.

“Justeru, kami memohon bon di bawah Seksyen 173A Kanun Tatacara Jenayah tanpa direkodkan sabitan kesalahan.

“Tertuduh juga sedia membayar pampasan sekiranya bon tidak dibenarkan serta memohon hukuman denda minimum,” katanya, lapor BH.

Mahkamah kemudian menjatuhkan denda RM2,000 terhadap tertuduh dan memerintahkan hukuman penjara 10 hari jika gagal membayar denda berkenaan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here