PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di ibu negara hari ini, sempat menyindir Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan berkata partinya boleh melakukan lebih baik dan menggesa Perdana Menteri mendengar suara rakyat.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri ketika menggariskan agenda ekonomi meluahkan kritikan tentang perkara yang disifatkannya sebagai ketidakpastian berhubung dasar kerajaan, khususnya percukaian oleh Anwar yang dirujuk beliau sebagai ‘guru’ dalam ucapan itu.
“Cukup-cukuplah, guru! Dengarlah suara kami, guru! Dengarlah suara rakyat, wahai guru! Cukup-cukuplah!.
“Insya-Allah, kami boleh buat lebih baik daripada yang guru buat,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pada PAU 2026 di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di ibu negara hari nii.
Ahmad Zahid berkata, dalam tempoh lapan tahun selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), negara terperangkap dalam ‘peperangan politik’ tidak berkesudahan, walaupun pilihan raya sudah lama selesai.
“Rakyat semakin penat mendengar siapa mahu dijatuhkan? Siapa mahu disiasat dan siapa lagi yang mahu dipersalahkan? Hakikatnya rakyat hanya mahu tahu siapakah mampu beri penyelesaian?” kata beliau.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid menegaskan, UMNO menggesa supaya Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) segera dikembalikan, yang disifatkan sebagai sistem percukaian lebih berkesan yang pernah dilaksanakan di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN).
Katanya, UMNO berazam untuk memastikan kadar GST yang ditetapkan kelak berada pada peratusan lebih munasabah untuk menyelaraskan jaminan sosial rakyat.
Beliau berkata, sistem GST dilaksanakan ketika pentadbiran Datuk Seri Najib Razak sebelum ini adalah baik.
“Guru, tukar balik percukaian kepada sistem GST. Mana ada (sistem) hibrid, tiada siapa buat hibrid GST dan SST (Cukai Jualan dan Perkhidmatan). Dengarlah rakyat cakap ni. Bosku (Datuk Seri Najib Razak) buat betul dah (laksana GST).
“Insya-Allah, kita kembalikan GST dalam sistem percukaian di negara ini,” katanya.
Beliau turut menempelak pemimpin yang enggan mendengar keluhan dan keresahan dibangkitkan masyarakat pelbagai lapisan, menggesa mereka segera menghentikan pendekatan yang disifatkannya tidak sihat kepada pembangunan negara.
Teguran itu, katanya, bukan bertujuan membakar api atau memprovokasi sesuatu keadaan, sebaliknya mahu memastikan keresahan rakyat tidak terus dipandang enteng.





