DATUK Seri Anwar Ibrahim dijangka membuat pengumuman berhubung pembayaran interim kepada Sarawak pada 16 September ini sempena sambutan Hari Malaysia.
Perdana Menteri berkata, beliau akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam beberapa hari akan datang berhubung bayaran interim itu.
Menurut beliau, perbincangan akan memperhalusi bayaran itu dengan mengambil kira kedudukan kewangan negara dan pendekatan lebih sesuai untuk Sarawak.
“Oleh itu, saya akan terus bincang dalam beberapa hari ini dengan Premier (Sarawak).
“Mudah-mudahan sebaik hari 16 September, Hari Malaysia di Kuching, saya boleh umumkan juga langkah interim untuk Sarawak,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) 2026 di Kota Kinabalu, lapor Bernama.
Mesyuarat itu turut dihadiri Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, Sarawak turut mengemukakan pandangan supaya satu formula lebih jelas diperkenalkan dengan mengambil kira kedudukan kewangan negara, kemampuan semasa serta kadar minimum dan maksimum yang boleh dipertimbangkan.
“Saya setuju dan telah minta Kementerian Kewangan dan Kementerian Kewangan Sarawak untuk bincangkan tentang memperkenalkan formula,” katanya.





