UMNO berharap permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dapat dipertimbangkan pada Mesyuarat Lembaga Pengampunan akan datang tanpa kelewatan yang tidak perlu.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, parti itu mengambil maklum kenyataan rasmi Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri berhubung Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-63 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang bersidang hari ini.
Menurut beliau, UMNO menghormati sepenuhnya institusi Yang di-Pertuan Agong serta segala proses yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan berkaitan kuasa pengampunan.
“UMNO mengambil maklum bahawa permohonan pengampunan YBhg. Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak telah ditangguhkan ke Mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan diadakan kelak, sebagaimana dinyatakan dalam kenyataan rasmi Kerajaan.
“Sehubungan itu, UMNO berharap agar permohonan tersebut dapat dipertimbangkan pada mesyuarat akan datang tanpa kelewatan yang tidak perlu, selaras dengan proses undang-undang dan Perlembagaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Asyraf Wajdi berkata, perjuangan UMNO untuk mendapatkan keadilan buat Najib bukan bertujuan mencabar institusi atau proses undang-undang, sebaliknya parti itu akan terus menggunakan segala ruang yang sah di sisi Perlembagaan dan undang-undang.
Katanya, usaha berkenaan adalah bagi memastikan hak Najib untuk mendapatkan pertimbangan yang adil dapat dilaksanakan sepenuhnya.
“UMNO turut memahami keresahan dan kekecewaan ahli-ahli parti serta rakyat yang telah lama menantikan perkembangan berhubung perkara ini.
“Namun, UMNO menyeru semua pihak supaya terus bertenang, menghormati institusi Raja-Raja Melayu dan tidak mengambil sebarang tindakan yang boleh menjejaskan proses yang sedang berjalan,” katanya.
Beliau menegaskan, UMNO tidak akan berhenti memperjuangkan keadilan dan akan terus berusaha melalui saluran Perlembagaan, undang-undang serta institusi yang sah.
“Kita akan terus berusaha melalui saluran Perlembagaan, undang-undang dan institusi yang sah sehingga segala proses berkaitan Dato’ Sri Mohd Najib diberikan pertimbangan sewajarnya,” katanya.




