SEORANG wanita warga Malaysia yang menetap di Perth, Australia meninggal dunia dipercayai selepas mengalami kecederaan parah akibat serangan yang didakwa berlaku dalam konteks hubungan domestik.
Mangsa, Kah Ming Tan, 28, ditemukan tidak sedarkan diri di sebuah kediaman di Taree Street, St James, Perth kira-kira 8.30 malam pada 26 Ogos lalu.
Mangsa kemudian dikejarkan ke Royal Perth Hospital namun disahkan meninggal dunia.
Susulan kejadian itu, detektif siasatan pembunuhan mendakwa seorang lelaki, Younis Qambari, 38, menyebabkan kecederaan parah terhadap mangsa dalam satu serangan yang dipercayai berlaku beberapa hari sebelum dia ditemukan tidak sedarkan diri.
Polis Australia mendakwa kejadian itu berlaku dalam konteks hubungan kekeluargaan dan domestik.
Qambari didakwa atas pertuduhan membunuh pada 28 Ogos lalu dan hadir di Mahkamah Majistret Perth. Dia tidak diberikan jaminan dan dijadualkan kembali ke mahkamah bulan ini.
Mendiang dilaporkan berasal dari Pulau Pinang dan merupakan ibu kepada tiga anak.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Lim Hui Ying menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa serta meminta privasi mereka dihormati sepanjang proses siasatan.
Kakak mangsa yang tinggal berhampiran dilaporkan amat tertekan dengan kematian adiknya dan masih cuba menerima tragedi berkenaan.
Kes itu masih dalam proses undang-undang, manakala pertuduhan terhadap tertuduh belum diputuskan mahkamah.





