TIGA kajian yang dijalankan oleh UMNO Pahang untuk menentukan pilihan kerjasama politik bagi berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang menunjukkan Barisan Nasional (BN) boleh mencapai kemenangan dalam ketiga-tiga kajian tersebut.
Naib Presiden UMNO yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Pahang, Datuk Seri Rosdy Wan Ismail berkata, kajian tersebut melibatkan persoalan sama ada BN bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN), bersama Pakatan Harapan (PH) atau bergerak solo.
“Rumusannya, nak selesa, nak cuci tangan, dengan PN. Kalau dengan PH hilang 15% pengundi Melayu, tetapi masih boleh menang. Kalau solo, masih boleh menang tetapi risikonya sangat tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan di Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Kuala Lumpur hari ini.
Bagaimanapun kata beliau, keputusan muktamad berhubung bentuk kerjasama politik di Pahang masih dalam perbincangan dan bakal ditentukan pucuk pimpinan parti.
“Setakat hari ini masih lagi dalam perbincangan. Insya-Allah apabila semua maklumat dapat diperolehi, saya dan rakan-rakan akan mengadap presiden untuk berbincang lebih lanjut sebelum membuat keputusan,” katanya.
Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata Pahang merupakan satu-satunya negeri yang mengekalkan pentadbiran BN tanpa putus.
Beliau berikrar untuk mempertahankan kubu kuat parti itu daripada jatuh ke tangan pihak lain.





