SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kini giat menjalankan siasatan susulan pendedahan syarikat pembangunan kecerdasan buatan (AI), Anthropic, mengenai kewujudan operasi yang didakwa menggunakan AI untuk memanipulasi kandungan politik di media sosial.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, suruhanjaya itu turut menyiasat sama ada kaedah berkenaan digunakan di platform media sosial lain, termasuk menerusi manipulasi komen dan perbincangan dalam talian.
“Setakat ini saya serahkan kepada MCMC. Mereka telah menyatakan mereka ingin melakukan siasatan.
“Malah, laporan Anthropic sebenarnya telah sendiri berkata bahawa ada percubaan untuk mendekati MCMC tetapi tidak berjaya,” katanya kepada media selepas menyertai acara Oxyenergy X Media Prima Merdeka Run di Balai Berita Media Prima di Bangsar, Kuala Lumpur hari ini, lapor Buletin TV3.
Yang turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari; Ketua Pegawai Operasi Media Prima OMNiA, Datuk Mohd Efendi Omar dan Pengarang Kumpulan Berita dan Hal Ehwal Semasa (NCA) Rangkaian Televisyen, Datuk Azhari Muhidin.
Anthropic sebelum ini mendedahkan kewujudan kira-kira 1,000 akaun palsu di platform X yang didakwa digunakan dalam operasi berkaitan politik di Malaysia.
Selain akaun palsu, laporan berkenaan turut mendakwa kewujudan laman berita rekaan, selain kandungan dan tuduhan palsu yang dihasilkan menggunakan teknologi AI.
Perkembangan itu menimbulkan persoalan mengenai pihak yang mendalangi operasi berkenaan, namun identiti pihak terbabit masih belum dapat disahkan.
Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, laporan Anthropic yang menjadi asas siasatan itu lebih tertumpu kepada aktiviti di platform X.
Ditanya mengenai tempoh siasatan, Fahmi berkata beliau belum dimaklumkan mengenai jangkaan laporan itu siap dan memberi ruang kepada MCMC untuk menjalankan penelitian.
“Saya tidak dimaklumkan lagi. Saya beri mereka sedikit masa untuk siasat,” katanya.





