SEORANG peniaga wanita kerugian RM315,963 selepas diperdaya sindiket penipuan yang menawarkan tender pembelian projektor kononnya untuk dibekalkan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Kangsar, Perak.
Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, berdasarkan laporan polis yang diterima semalam, mangsa berusia 52 tahun dan menjalankan perniagaan kedai fotostat serta perkhidmatan berkaitan mesin pencetak.
Katanya, mangsa menerima pesanan melalui WhatsApp daripada seorang lelaki pada 1 September lalu yang mendakwa mewakili PPD Kuala Kangsar.
“Suspek meminta mangsa menyediakan sebut harga berkaitan pembekalan kertas soalan.
“Pada 10 September lalu, suspek sekali lagi menghubungi mangsa dan meminta mangsa mendapatkan dua unit projektor untuk dihantar ke PPD Kuala Kangsar.
“Memandangkan syarikat mangsa tidak mempunyai stok projektor, suspek memberikan nombor telefon individu bagi urusan pembekalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa kemudian membuat pesanan dua projektor dengan bayaran RM18,498 ke akaun bank yang diberikan suspek.
Katanya, suspek turut menghantar gambar kononnya sebagai bukti projektor berkenaan sudah diterima PPD Kuala Kangsar.
“Pada 11 September lalu, suspek sekali lagi menghubungi mangsa dan memaklumkan terdapat tempahan tambahan sebanyak 50 unit projektor.
“Suspek turut menghantar satu pesanan tempatan (LO) kepada mangsa bagi meyakinkan mangsa bahawa tempahan itu adalah sah dan meminta mangsa membuat bayaran bagi pembelian projektor.
“Mangsa membuat pembayaran melalui beberapa transaksi ke satu akaun berjumlah RM254,970 bagi 30 projektor dan RM42,495 bagi lima unit projektor,” katanya.
Azry Akmar berkata, selepas membuat pembayaran, mangsa meminta pihak berkenaan mengemukakan dokumen pendaftaran syarikat dan nombor pendaftaran cukai (TIN), namun permintaan itu tidak dijawab.
Katanya, mangsa sekali lagi menghubungi suspek dan hanya dimaklumkan bahawa tempahan sedang diproses untuk penghantaran, semalam.
“Selepas itu, mangsa tidak lagi menerima sebarang maklumat berhubung tempahan itu dan gagal menghubungi suspek.
“Mangsa kemudiannya menyedari telah menjadi mangsa penipuan dan tampil membuat laporan polis.
“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kerugian keseluruhan RM315,963 membabitkan wang simpanan hasil perniagaannya,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.





