Rangka manusia dipercayai mangsa bunuh ditemukan dalam tong dram

TIGA pemancing terkejut selepas menemukan sebuah tong dram memuatkan rangka manusia dipercayai mangsa bunuh di kawasan tadahan air Empangan Durian Tunggal Machap Baru di Alor Gajah hari ini.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ahmad Abu Bakar berkata, maklumat diterima sekitar jam 11.40 pagi daripada tiga pemancing berkenaan berusia lingkungan 25 hingga 35 tahun.

Menurutnya, maklumat awal diterima mendapati kesemua pemancing itu menemukan sebuah tong dram di tepi empangan sebelum cuba memeriksa kandungannya dengan memotong sedikit bahagian atas tong itu.

“Selepas memotong sedikit bahagian atas tong, mereka mendapati terdapat kesan seperti rangka tulang sebelum membuat laporan polis untuk siasatan lanjut.

“Polis tiba di lokasi kira-kira jam 12 tengah hari dan menjalankan pemeriksaan bersama pasukan forensik,” katanya ditemui di lokasi kejadian, lapor Sinar Harian.

Ahmad berkata, tong itu berada kira-kira 15 meter dari jalan sebelum pihak polis meminta bantuan bomba untuk mengangkatnya ke jalan bagi dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

“Dipercayai rangka berkenaan sudah berada di dalam tong sekurang-kurangnya tiga minggu berdasarkan keadaan tulang dan tisu yang masih melekat.

“Identiti mangsa serta jantina belum dikenal pasti dan siasatan diteruskan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sehubungan itu beliau meminta mereka yang kehilangan ahli keluarga supaya membuat laporan polis bagi membantu pihaknya menentukan identiti sebenar mangsa.

Pada masa sama, katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here