Pelajar 17 tahun direman kes buli, pukul pelajar junior

POLIS menahan reman seorang pelajar tingkatan lima sebuah sekolah menengah di Pulau Sebang, Alor Gajah selama dua hari bagi membantu siasatan kes buli dan pukul seorang pelajar junior pada Jumaat lalu.

Pelajar lelaki berusia 17 tahun itu dipercayai memukul mangsa dan memaksanya untuk menjadi orang suruhan sebagai syarat untuk berdamai berikutan perselisihan faham antara mereka.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ahmad Abu Bakar berkata, perintah reman terhadap pelajar itu dibenarkan Mahkamah Majistret Alor Gajah bermula hari ini sehingga esok.

Beliau berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 10 pagi Jumaat lalu ketika mangsa sedang membersihkan papan putih di kelas sementara pelajar lain keluar berehat.

Ahmad memberitahu, siasatan awal mendapati sebelum kejadian, berlaku perselisihan faham antara kedua-dua pelajar menerusi aplikasi WhatsApp apabila mangsa didakwa mengeluarkan kata-kata kesat terhadap suspek.

“Ketika pertemuan itu suspek dipercayai meluahkan rasa tidak puas hati sebelum menumbuk mangsa bertubi-tubi.

“Mangsa cuba melindungi diri, namun suspek didakwa terus menendangnya beberapa kali sehingga terkena muka, kepala, perut dan kemaluan,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Harian Metro.

Tambah Ahmad, mangsa yang ketakutan kemudian meminta maaf dan cuba berdamai, namun suspek masih didakwa menumbuknya selain memberi amaran akan memukul mangsa lagi.

“Suspek kemudian memanggil semula mangsa yang ketika itu sedang menahan kesakitan dan memberitahu mangsa perlu menjadi orang suruhan sekiranya mahu berdamai serta tidak mahu dipukul lagi.

“Selepas itu suspek memberikan wang kepada mangsa dan mengarahkannya membeli minuman menyebabkan mangsa menurutinya kerana ketakutan,” jelasnya.

Mangsa kemudian memaklumkan kejadian itu kepada guru sekolah pada hari sama sebelum pulang ke rumah.

Katanya, mangsa mendakwa kesakitan yang dialami bertambah serius selain mengalami pedih pada saluran kencing ketika membuang air kecil sebelum memberitahu kejadian itu kepada bapanya.

“Mangsa kemudian dibawa mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Simpang Ampat sebelum dirujuk ke Hospital Melaka dan ditahan selama sehari untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.

Ahmad berkata, laporan polis dibuat bapa mangsa susulan kejadian itu yang membawa kepada penahanan suspek.

“Sebelum penahanan suspek, individu itu turut didakwa mengganggu ibu bapa dan abang mangsa menerusi WhatsApp dengan mendakwa kononnya mempunyai ‘kabel polis’,” ujarnya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here