BRICS kurangkan kebergantungan melampau negara anggota terhadap pasaran tradisional Barat – PM

BRICS menawarkan kelebihan geoekonomi penting dalam pelbagai aspek dan menghasilkan massa kritikal daripada pasaran bersepadu yang besar, sekali gus membuka peluang untuk mempelbagaikan perdagangan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia membolehkan ekonomi negara anggota BRICS mengurangkan kebergantungan melampau terhadap pasaran tradisional Barat.

“Akhirnya, sinergi yang tercipta, diterokai dan digunakan secara optimum ini akan berfungsi sebagai dorongan kepada pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran bersama,” katanya ketika berucap menyampaikan kenyataan negara pada Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-18 di New Delhi hari ini, lapor BH.

Anwar menegaskan, dunia tidak boleh berbicara mengenai pertumbuhan dan kemakmuran yang inklusif ketika peperangan terus melonjakkan harga tenaga serta mengancam laluan maritim yang menjadi talian hayat ekonomi.

Pencerobohan dilakukan Israel di Asia Barat pula, kata Perdana Menteri, merebak jauh melangkaui pihak-pihak yang terbabit secara langsung.

“Negara-negara yang tidak terbabit dalam perang ini turut menanggung akibatnya melalui inflasi yang lebih tinggi dan ketidaktentuan,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, Malaysia berpendirian bahawa kedaulatan wajar dihormati, orang awam mesti dilindungi dan arteri ekonomi global mesti dijauhkan daripada medan perang.

Tegas beliau, pihak yang mempunyai kapasiti terbesar untuk mencorakkan hala tuju, memikul tanggungjawab khusus untuk menghalang ketegangan daripada terus memuncak.

Sehubungan itu, Malaysia menurut Anwar, berharap BRICS akan menyatakan secara jelas dan nyata apa yang sepatutnya tidak perlu lagi dipertikaikan iaitu bahawa pendudukan, kolonialisme, malah lebih tepat lagi ‘keganasan pendatang’ tidak boleh dijadikan takdir, serta tiada nyawa yang kurang bernilai hanya kerana tempat mereka tinggal.

“BRICS mampu meluaskan pilihan dan memperkukuh kapasiti kita untuk mencorakkan dunia di sekeliling kita. Namun, pengaruh bukanlah matlamat akhir. Ia hanya bermakna jika kita bersedia menggunakannya demi prinsip yang kita perjuangkan.

“Bagi Malaysia, autonomi strategik bermaksud kebebasan untuk memilih haluan kita sendiri dan keberanian untuk mempertahankan pilihan itu apabila tiba masanya.

“Sebagai sebuah Negara Rakan (BRICS), Malaysia berharap dapat menyumbang dalam semangat itu,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here