Anwar gesa BRICS rombak amalan perdagangan tidak adil

NEGARA membangun tidak seharusnya dipaksa memilih antara membayar hutang dan memenuhi keperluan rakyat, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menggesa BRICS dan negara rakan mengambil tindakan konkrit bagi merombak amalan perdagangan yang tidak adil.

Perdana Menteri berkata, keadaan ekonomi global ketika ini memperlihatkan percanggahan ketara apabila kemajuan teknologi berkembang pesat, namun manfaat pertumbuhan ekonomi masih sukar dicapai sebahagian besar negara membangun.

Berucap pada Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-18 di New Delhi hari ini, Anwar berkata, terlalu banyak negara kini berdepan krisis hutang atau berada pada tahap berisiko tinggi untuk menghadapinya.

“Terlalu ramai orang tinggal di negara yang membelanjakan lebih banyak wang untuk faedah hutang berbanding mendidik anak bangsa atau merawat mereka yang sakit.

“Tiada mana-mana negara sepatutnya dipaksa memilih antara melunaskan hutangnya dan menunaikan kewajipan terhadap rakyatnya,” katanya, lapor BH.

Sehubungan itu, Anwar menegaskan pembiayaan kepada negara membangun perlu bersesuaian dengan tujuan serta mengambil kira keperluan asas dan penyediaan kemudahan awam tanpa mewujudkan beban hutang yang tidak mampan.

Pada masa sama, beliau mengakui modal komersial mempunyai peranan penting dalam pembangunan, namun penyalurannya perlu berasaskan terma yang kukuh dan mampu ditanggung dalam jangka panjang.

Anwar turut menyentuh kepentingan inisiatif bank pembangunan baharu serta mekanisme penyelesaian menggunakan mata wang tempatan, termasuk potensi pasaran modal Islam yang menurutnya perlu diterokai dan dilaksanakan tanpa berlengah.

“Izinkan saya menegaskan semula dengan penuh rasa rendah diri bahawa kita perlu bertindak bersama menerusi tindakan konkrit bagi merombak amalan perdagangan yang tidak adil,” katanya.

Dalam usaha memperkukuh kerjasama sesama negara membangun, Perdana Menteri turut menggesa BRICS berkongsi pengalaman dan eksperimen pembangunan melalui kerjasama teknikal serta latihan, khususnya dalam bidang teknologi baharu seperti semikonduktor dan kecerdasan buatan (AI).

Beliau berkata, agenda peralihan hijau juga perlu mengambil kira perbezaan keadaan nasional kerana setiap negara mempunyai tahap pembangunan dan keupayaan yang berbeza.

“Transisi hijau mestilah mencerminkan keadaan nasional yang berbeza. Setiap negara akan bergerak pada halaju dan laluan yang berbeza, bergantung kepada situasi serta tahap pembangunan masing-masing,” katanya.

Anwar turut menegaskan keperluan Malaysia melabur dalam teknologi strategik seperti pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) sebagai sebahagian daripada usaha negara melaksanakan transisi hijau mengikut keperluan dan keupayaan sendiri.

Pendekatan itu, katanya, perlu bergerak seiring dengan usaha membina sistem perdagangan dan pembiayaan global yang lebih adil, supaya negara membangun mempunyai ruang mencukupi untuk berkembang tanpa mengorbankan kesejahteraan rakyat dan agenda pembangunan jangka panjang.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here