`Ramai yang sayang anak saya’ – Bapa Allahyarham Kapten Zainol Afiq

ALLAHYARHAM Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 31, amat disayangi penduduk di kawasan pedalaman kerana tugasnya yang sering membawa bantuan berkaitan kesihatan dan perubatan ke kawasan berkenaan.

Bapanya, Bee Sham Ahmad, 59, berkata, meskipun anaknya itu baru berkhidmat lebih dua tahun, pemergiannya meninggalkan kesan yang amat mendalam kepada keluarga.

Menurutnya, perjalanan menggunakan helikopter hanya mengambil masa sekitar sejam, berbanding perjalanan melalui jalan darat yang boleh mencecah antara 10 hingga 12 jam.

“Jadi banyak perkara berkaitan kesihatan dan perubatan yang memerlukan bantuan KKM dibawa oleh beliau ke kawasan pedalaman dan sebab itulah ramai orang di sana sayang kepadanya,” katanya ketika ditemui media selepas pengebumian anaknya itu di Tanah Perkuburan Islam Forest Height di Senawang hari ini, lapor Buletin TV3.

Menurut Bee Sham, setiap kali bertugas di kawasan pedalaman, anaknya sering menginap di sebuah rumah inap berhampiran kawasan nahas.

Malah katanya, pada hari kejadian, pemilik rumah inap berkenaan telah menyediakan hidangan untuk menyambut Allahyarham, namun tidak sempat dinikmatinya.

“Tempat yang dia mendarat dan terbakar itu sebenarnya tempat dia akan duduk. Biasanya memang ada homestay di situ dan dia akan bermalam di situ.

“Homestay itu memang sudah siap memasak untuk dia dan saya dimaklumkan dia telefon isteri arwah.

“Makanan itu tidak akan dibuang, sebaliknya akan disimpan sehingga tempoh 40 hari mengikut adat mereka,” katanya.

Bee Sham berkata, perkara itu menggambarkan betapa besar penghargaan dan kasih sayang penduduk pedalaman terhadap Allahyarham.

Terdahulu, jenazah Allahyarham Kapten Zainol Afiq yang maut dalam nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Miri, Sarawak pada Selasa lalu, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Forest Height pada jam 6.04 petang tadi.

Pengebumian itu dihadiri lebih 500 ahli keluarga, kenalan dan penduduk setempat.

Sebelum itu, jenazah disolatkan selepas solat Asar di Masjid Bandar Baru Senawang yang dihadiri lebih 600 ahli keluarga, saudara-mara dan penduduk setempat.

Solat jenazah itu diimamkan oleh bapanya dan turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here