SEORANG lelaki maut selepas kenderaan pacuan empat roda dipandunya terlibat dalam kemalangan membabitkan tujuh kenderaan dan sebuah motosikal di persimpangan lampu isyarat Jalan Kolam, Kota Kinabalu, pagi ini.
Dalam kejadian jam 6.10 pagi itu, mangsa berusia 44 tahun yang memandu Toyota Hilux disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM).
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Lintas, Penolong Kanan Penguasa Bomba Noor Sherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.33 pagi sebelum enam anggota bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi.
“Pasukan bomba menggunakan peralatan khas penyelamatan untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kenderaan.
“Mangsa berjaya dikeluarkan, namun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi ditamatkan pada jam 7.55 pagi,” katanya.





