Aduan Facebook bawa kepada penahanan lima lelaki, syabu dirampas

LIMA lelaki ditahan selepas polis merampas 87.22 gram syabu dalam dua serbuan di Kampung Silat, Bongawan, di Papar, 10 September lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, operasi menerusi Op Gempur Khas itu dijalankan susulan aduan orang awam menerusi Facebook rasmi JSJN Sabah.

Katanya, serbuan berkenaan turut menemukan dua laras senapang angin dan satu objek menyerupai pistol di sebuah rumah.

“Dalam tangkapan pertama, dua lelaki tempatan berusia 20 dan 43 tahun ditahan selepas pemeriksaan menemukan satu paket besar serta 64 paket kecil berisi bahan disyaki syabu seberat 32.87 gram.

“Dadah dianggarkan bernilai RM2,000 itu ditemukan di dalam sebuah beg yang diserahkan seorang daripada suspek, turut dirampas tiga telefon bimbit.

“Ujian saringan awal mendapati kedua-dua suspek positif dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya ketika dihubungi, hari ini, lapor Harian Metro.

Menurutnya, dalam tangkapan kedua, tiga lelaki tempatan berusia antara 21 hingga 24 tahun ditahan selepas seorang daripada mereka ditemukan memiliki 48 paket plastik pelbagai saiz berisi 54.35 gram bahan disyaki syabu.

Katanya, dadah dianggarkan bernilai RM3,000 itu dirampas bersama sebuah telefon bimbit serta Perodua Myvi.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B ADB 1952 dan turut disiasat mengikut Seksyen 8(a) dan Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960.

“Ujian saringan awal mendapati seorang daripada tiga suspek positif dadah, manakala dua lagi negatif,” katanya.

Alhusin berkata, dua laras senapang angin dan objek menyerupai pistol itu diserahkan kepada pegawai penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah IPD Papar untuk tindakan lanjut.

“Permohonan reman dibuat terhadap semua suspek, manakala dadah dirampas akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis.

“Risikan dan usaha mengesan sumber bekalan dadah terbabit masih diteruskan,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here