ANCAMAN bom yang dihantar menerusi e-mel kepada pihak pengurusan pusat beli-belah Mid Valley Southkey, Johor Bahru, lewat malam tadi disahkan palsu selepas pemeriksaan keselamatan dijalankan polis.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad, berkata pihaknya menerima maklumat daripada pengurusan pusat beli-belah berkenaan pada jam 11.31 malam.
Beliau berkata, Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dengan bantuan UPB Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan segera digerakkan ke lokasi.
“Pemeriksaan keselamatan dijalankan di dalam serta luar bangunan dengan kerjasama pasukan keselamatan premis.
“Beberapa objek mencurigakan ditemui dan diperiksa pasukan UPB, namun didapati tidak mengandungi sebarang bahan letupan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rahaman berkata, tiada ancaman bom dikesan dan kawasan terjejas kemudiannya disahkan selamat sepenuhnya.
Beliau berkata, polis memandang serius semua ancaman berkaitan bahan letupan dan akan mengambil tindakan segera bagi menjamin keselamatan orang awam.
“Sebarang maklumat berkaitan kejadian hendaklah dirujuk kepada pihak polis bagi mengesahkan kesahihannya dan mengelakkan kekeliruan dalam kalangan orang awam,” katanya.





