SMART pulang hari ini, usaha kesan 55 rakyat Malaysia di Nepal diteruskan

PASUKAN Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) akan pulang ke tanah air hari ini, selepas menamatkan penugasan di Nepal, namun usaha mendapatkan kepastian mengenai status 55 rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi susulan bencana banjir dan tanah runtuh di negara itu tetap diteruskan.

Kementerian Luar Negeri (KLN) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, berdasarkan rekod semasa, jumlah rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi kekal seramai 55 orang.

“Setibanya di Malaysia, SMART dijadual memberikan taklimat kepada KLN di Putrajaya mengenai penugasan serta maklumat yang diperoleh sepanjang operasi di lapangan.

“Sepanjang penugasan di Nepal, SMART melaksanakan aktiviti pencarian di kawasan yang boleh diakses dengan selamat dan dibenarkan pihak berkuasa negara itu, termasuk pencarian di darat serta tinjauan udara menggunakan dron,” kata kenyataan itu.

Sebanyak 11 pegawai dan anggota SMART berlepas ke Nepal pada 5 September lalu bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) susulan kejadian banjir dan tanah runtuh di negara berkenaan.

Pasukan itu berlepas dari Pangkalan Udara Subang kira-kira jam 9 pagi menggunakan pesawat A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

KLN dalam pada itu berkata, berakhirnya penugasan SMART di lapangan tidak bermakna usaha mendapatkan kepastian mengenai status rakyat Malaysia terbabit telah tamat atau mengubah status semasa mereka.

“Kesemua 55 rakyat Malaysia tersebut kekal direkodkan sebagai masih belum dapat dihubungi sementara proses berkaitan bagi menentukan status setiap individu terus dilaksanakan,” tambah kenyataan itu.

Maklumat yang diperoleh SMART akan diteliti bersama agensi berkaitan, selain perkembangan semasa yang terus diterima dari Nepal bagi menentukan tindakan susulan yang bersesuaian.

Berdasarkan maklumat terkini diterima dari Nepal, pihak berkuasa negara itu masih melaksanakan usaha pencarian, pengesahan dan pengecaman susulan bencana berkenaan.

Bagi menyokong usaha tindak balas bencana Nepal, SMART turut memberikan latihan pengendalian dron kepada anggota penyelamat negara itu, selain menyerahkan sembilan dron kepada Kerajaan Nepal menerusi National Disaster Risk Reduction and Management Authority (NDRRMA) untuk digunakan dalam operasi berkaitan bencana.

Tindakan susulan Malaysia di Nepal akan diteruskan menerusi Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu yang akan terus mendapatkan maklumat secara langsung daripada NDRRMA dan pihak berkuasa Nepal berkaitan.

Kedutaan Besar Malaysia juga akan membuat semakan dengan hospital serta agensi berkaitan dan melaksanakan semakan atau lawatan susulan sekiranya keadaan keselamatan mengizinkan serta selepas mendapat kelulusan pihak berkuasa Nepal.

Kedutaan Besar Malaysia di Beijing juga akan terus berhubung dengan pihak berkuasa China berkaitan mengenai rakyat Malaysia yang terjejas akibat bencana berkenaan.

KLN turut memahami kebimbangan keluarga yang masih menantikan kepastian mengenai nasib insan tersayang dan menegaskan kementerian kekal berhubung secara langsung dengan waris terdekat.

“Jika terdapat perkembangan yang telah disahkan mengenai status seseorang rakyat Malaysia, waris terdekat akan dimaklumkan terlebih dahulu sebelum sebarang pengumuman dibuat kepada umum,” kata kenyataan itu lagi.

KLN turut menggesa orang ramai dan pihak media menghormati privasi keluarga yang terlibat serta tidak membuat spekulasi mengenai mana-mana individu yang statusnya masih belum dapat disahkan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here