MAHKAMAH Tinggi Shah Alam melepaskan dan membebaskan seorang remaja lelaki berusia 15 tahun daripada pertuduhan membunuh seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya, tahun lalu.
Hakim Adlin Abdul Majid bagaimanapun memerintahkan remaja berkenaan ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak, sehingga tempoh yang diperkenankan Sultan Selangor.
Peguam yang mewakili remaja itu, Kitson Foong, berkata mahkamah mendapati anak guamnya tidak waras ketika kejadian pada Oktober 2025.
“Penama didapati tidak waras pada jam, tarikh dan masa kejadian pada Oktober 2025. Oleh itu, Seksyen 84 Kanun Keseksaan telah berjaya ditimbulkan oleh pembelaan.
“Mahkamah telah merekodkan keputusan pembebasan atas alasan tidak sempurna akal,” katanya pada sidang media selepas prosiding keputusan kes berkenaan, lapor BH.
Menurutnya, dapatan mahkamah menunjukkan terdapat ‘medical insanity’ yang membawa kepada pembuktian ‘legal insanity’ terhadap anak guamnya.
Foong berkata mahkamah turut menerima keterangan Pakar Perunding Forensik Psikiatri Hospital Bahagia Ulu Kinta, Dr Ian Lloyd Anthony yang mengesahkan remaja itu menghidap skizofrenia yang serius dan agresif.
“Skizofrenia ini telah menyebabkan remaja itu bukan dirinya sendiri. Dia ingat dia dewa. Dia kata dia mendengar suara dan arahan seseorang dan perkara ini tidak dinafikan oleh pihak pendakwaan,” katanya.
Beliau berkata remaja itu akan mula menerima rawatan bagi gangguan dialaminya, namun proses berkenaan mengambil masa.
Katanya, hakim turut mengingatkan remaja terbabit supaya menyedari bahawa tindakannya menyebabkan kehilangan satu nyawa dan menghargai peluang kedua yang diberikan kepadanya.
Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwaan mengemukakan 11 saksi, manakala dua saksi pembelaan termasuk remaja itu sendiri memberikan keterangan.
Mengikut pertuduhan, remaja berkenaan didakwa membunuh rakan sekolahnya di bilik tandas pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah kebangsaan di Bandar Utama antara jam 9.20 pagi hingga 9.35 pagi, 14 Oktober 2025.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta sebatan tidak lebih 12 kali jika tidak dihukum mati.
Bagaimanapun, Seksyen 97(1) Akta Kanak-Kanak 2001 menetapkan hukuman mati tidak boleh dijatuhkan terhadap kanak-kanak berusia bawah 18 tahun.
Sebagai ganti, mahkamah boleh memerintahkan individu terbabit ditahan bagi tempoh yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Raja atau Yang Dipertua Negeri mengikut Seksyen 97(2) akta sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Ahmad Iqbal Azman.
Memandangkan remaja berkenaan masih bawah umur, identitinya tidak boleh didedahkan atau dirakam gambarnya dan keseluruhan prosiding dijalankan secara tertutup.
Pada 12 Februari lalu, remaja itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan semula dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Adlin.





