POLIS sudah membuka kertas siasatan berhubung dakwaan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Ismail Lasim yang dipaksa menandatangani proklamasi berkaitan penurunan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu masih dalam proses siasatan dan perkembangan lanjut akan dikongsikan sekiranya terdapat kemajuan.
“Kertas siasatan sudah dibuka dan masih lagi dalam progress (perkembangan). Kalau ada kemajuan, seperti biasa kita akan kongsi dengan rakan media,” katanya.
Saifuddin berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Putrajaya hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail dan Ketua Pengarah Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela), Datuk Rosli Yaakub.
Media sebelum ini melaporkan Ismail menegaskan dokumen Surat Cara Proklamasi bagi menurunkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir yang beliau tandatangani dan tular, dibuat tanpa kerelaan hatinya.
Terdahulu, pada 6 September lalu, Sekretariat Undang Yang Empat mengeluarkan kenyataan berkaitan Sidang Khas Pengumuman Surat Cara Proklamasi Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.
Kenyataan itu ditandatangani mereka yang mendakwa masih menjadi Undang Luak sah, masing-masing Datuk Mubarak Thahak (Sungei Ujong), Datuk Maarof Mat Rashad (Jelebu), Datuk Abdul Rahim Yasin (Rembau) selain Undang Luak Johol, Datuk Muhammed Abdullah; Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Al-Qadri dan Dato’ Syahbandar Sungei Ujong, Datuk Seri Badarudin Abd Khalid.
Dalam kenyataan itu, mereka menuntut pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan, khususnya Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Zafir Ibrahim, mematuhi proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz didakwa ditandatangani Ismail di Istana Laguna Biru, Port Dickson pada 3 Ogos lalu.





