POLIS menahan seorang lelaki yang dicari selepas tular dalam media sosial didakwa menyepak anak perempuannya di sebuah kedai makan di Telipot, dekat Kota Bharu, baru-baru ini.
Suspek yang berusia lingkungan 40-an itu ditahan selepas tampil menyerah diri di Balai Polis Kota Bharu.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Azmir Damiri berkata, lelaki itu kini ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, lapor BH.
Media kelmarin melaporkan, polis sedang mengesan seorang lelaki dan anak perempuannya bagi membantu siasatan satu rakaman video tular memaparkan lelaki bertindak kasar menyepak seorang kanak-kanak di sebuah kedai makan di Telipot.
Polis menerima laporan daripada orang awam berhubung video tular di media sosial aplikasi Threads kira-kira jam 10.24 malam pada Sabtu lalu.
Berdasarkan rakaman berkenaan, seorang lelaki dilihat bertindak kasar dengan menyepak seorang kanak-kanak perempuan yang dipercayai anaknya.
Rakaman video berkenaan dimuat naik oleh pemilik premis berkenaan di media sosial.





