Empat warga China didakwa culik wanita untuk dikurung

EMPAT warga China didakwa di Mahkamah Sesyen Alor Setar, hari ini, atas pertuduhan menculik seorang wanita warga negara itu dengan niat mengurung mangsa secara rahsia dan salah, bulan lalu.

Huang Jian, 39, Wang Hao Yu, 33, Guan Siqi, 24, dan Liu Tingjun, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim N Priscilla Hemamalini.

Mengikut pertuduhan, keempat-empat tertuduh didakwa menculik Xiong Xi Qiau, 33, dengan niat mengurung wanita itu secara rahsia dan salah, lapor Harian Metro.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Jalan Amira 2, Taman Amira, Langgar, pada jam 8.40 malam, 7 Ogos lalu.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nasruna Anhar Nordien, manakala tertuduh diwakili peguam Jodiah Poh Yi Tying dan S Suresh.

Pihak pendakwaan memaklumkan tiada jaminan ditawarkan kepada kesemua tertuduh atas alasan terdapat risiko mereka melarikan diri sekiranya dibebaskan dengan jaminan.

Mahkamah kemudian memutuskan kesemua tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin dan menetapkan 11 Oktober depan untuk serahan dokumen serta sebutan semula kes.

Media sebelum ini melaporkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman berjaya menyelamatkan empat warga asing, termasuk tiga wanita, yang menjadi mangsa sindiket culik untuk tebusan di negara ini.

Dalam kejadian pada 7 Ogos lalu, dua daripada lapan suspek sindiket terbabit ditembak mati di Taman Amira, Alor Setar, selepas berlaku insiden berbalas tembakan dengan polis.

Dalam operasi itu, polis turut menyelamatkan seorang lelaki warga Singapura berusia 72 tahun dan seorang wanita warga China berusia 33 tahun yang menjadi mangsa culik sindiket berkenaan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here