PM harap misi Diplomasi MADANI di Maldives berjalan lancar

DATUK Seri Anwar Ibrahim berharap lawatan rasmi beliau ke Maldives menerusi misi Diplomasi MADANI dapat berlangsung dengan baik, selain menjadi platform untuk mengeratkan lagi hubungan antara Malaysia dan Maldives.

Anwar menyatakan harapan tersebut selepas beliau tiba di Maldives malam tadi bagi memulakan lawatan rasmi selama dua hari ke negara berkenaan.

GAMBAR: Facebook Anwar Ibrahim

Pesawat khas yang membawa Perdana Menteri mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Velana pada jam 8.12 malam waktu tempatan (11.12 malam waktu Malaysia).

Ketibaan Anwar disambut oleh Presiden Maldives, Dr Mohamed Muizzu, bersama beberapa pegawai kanan kerajaan kedua-dua negara.

Menerusi hantaran di Facebook, Perdana Menteri berkata, lawatan tersebut diharapkan dapat memperkukuh hubungan persahabatan Malaysia-Maldives yang telah terjalin sejak hampir 60 tahun lalu.

Beliau turut menegaskan bahawa hubungan erat antara kedua-dua negara penting bagi membawa manfaat kepada rakyat Malaysia dan Maldives.

Dalam lawatan itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut ditemani Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan bersama delegasi Malaysia.

Antara yang turut hadir menyambut ketibaan Perdana Menteri ialah Menteri Hal Ehwal Agama Maldives, Dr Mohamed Shaheem Ali Saeed; Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Sri Lanka dan Maldives, Badli Hisham Adam serta pegawai kanan dari kedua-dua negara.

Sebagai sebahagian daripada acara sambutan, Anwar menerima penghormatan daripada kawalan kehormatan sebaik tiba.

Sebelum meneruskan perjalanan ke Official Jetty, beliau turut disambut dengan persembahan kebudayaan yang dipersembahkan oleh pelajar sekolah.

Presiden Muizzu kemudian mengiringi Anwar ke Official Jetty, sekali gus melengkapkan acara sambutan rasmi sempena lawatan sulung Perdana Menteri Malaysia ke Maldives.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here