Saifuddin sahkan Ismail Lasim buat dua laporan polis

MENTERI Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim telah membuat dua laporan polis berhubung perisytiharan untuk menurunkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir yang beliau dakwa dipaksanya untuk ditandatangani.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, polis menerima dua laporan berhubung isu dokumen Surat Cara Proklamasi yang didakwa ditandatangani oleh Ismail secara tanpa rela dan paksaan.

“Saya boleh sebut ada dua laporan polis dibuat oleh Menteri Besar. Menjadi kewajipan kita apabila menerima satu laporan, kita akan klasifikasikanlah tentang predikat dan hala tuju siasatan.

“Saya serahkan kepada PDRM (Polis Diraja Malaysia) untuk kendalikan aduan itu,” katanya kepada pemberita selepas menyantuni dan menyampaikan sumbangan tajaan umrah kepada Nurul Arini Abdullah, 19, dan ibunya, Norini Basir, 62, di Kampung Bukit Tembok, Port Dickson hari ini.

Ismail sebelum ini dilaporkan mendakwa beliau dipaksa menandatangani dokumen berkenaan sebelum membuat laporan polis pada 8 September bagi membolehkan siasatan dijalankan pihak berkuasa.

Media sebelum ini melaporkan, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri  Ahmad Zahid Hamidi berkata, dakwaan itu perlu disahkan peguam yang hadir ketika proses penandatanganan itu berlaku bagi mengesahkan perkara berkenaan.

Presiden UMNO itu turut berkata parti berkenaan tidak akan campur tangan, sebaliknya menghormati sepenuhnya institusi diraja, undang dan adat di Negeri Sembilan.

Saifuddin dalam pada itu berkata, pihak polis bertanggungjawab menjalankan siasatan secara profesional mengikut saluran undang-undang sedia ada.

Sehubungan dengan itu, beliau menasihati semua lapisan masyarakat supaya sentiasa menghormati lunas hukum dan tidak membuat sebarang andaian yang boleh mengganggu proses siasatan mahupun ketenteraman awam.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here