Polis sahkan pemandu rempuh tiga kenderaan positif ambil empat jenis dadah

POLIS mengesahkan seorang pemandu kereta Honda Civic yang merempuh tiga buah kenderaan di Jalan Kampung Bandar Dalam, Kuala Lumpur kelmarin positif mengambil empat jenis dadah serentak.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, lelaki tempatan berusia 30 tahun itu dikesan positif mengambil dadah jenis benzo, methamphetamine, ketamin dan amphetamine.

Menurut beliau, kemalangan di persimpangan lampu isyarat itu berlaku kira-kira jam 3.50 petang.

Katanya, rakaman kejadian kemudian tular dalam aplikasi Threads sebelum pasukan JSPT Kuala Lumpur berjaya mengesan semua kenderaan berkenaan.

“Semua pemandu kereta diminta hadir ke balai polis untuk membuat laporan.

“Siasatan awal mendapati pemandu kereta Honda Civic itu gagal mengawal kenderaan lalu terbabas dan melanggar tiga kenderaan lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Zamzuri berkata, kejadian dipercayai berpunca daripada pemandu kereta Honda Civic yang gagal mengawal kenderaan serta disyaki memandu secara melulu.

“Tiga kenderaan yang dirempuh ialah kereta Proton Saga dipandu lelaki warga Algeria berusia 46 tahun, kereta Nissan Almera dipandu wanita tempatan berusia 46 tahun dan sebuah lagi kereta Honda Civic dipandu wanita tempatan berusia 51 tahun.

“Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan dalam kemalangan itu,” katanya.

Beliau berkata, pemandu kereta Honda Civic berkenaan hadir ke balai polis dan membuat laporan pada jam 10.39 malam tadi.

“Ujian hembusan nafas yang dijalankan ke atas pemandu itu mendapati keputusan negatif alkohol.

“Bagaimanapun, ujian saringan air kencing dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi mendapati pemandu terbabit positif mengambil dadah jenis benzo, methamphetamine, ketamin dan amphetamine,” katanya.

Katanya, kes ini diklasifikasikan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Orang ramai atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Balai Polis Trafik Tun H S Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here