Sambutan Hari Malaysia: 5,000 dijangka meriahkan bandar raya Kuching malam ini

PUSAT Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di Kuching bakal menjadi tumpuan malam ini apabila kira-kira 5,000 hadirin dijangka membanjiri lokasi ini bagi menghadiri Sambutan Hari Malaysia 2026 peringkat kebangsaan.

Sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan tahun ini menyaksikan Sarawak kembali dipilih sebagai lokasi penganjuran selepas kali terakhir menjadi tuan rumah acara berkenaan pada 2023.

Acara akan bermula jam 7 malam dengan segmen prapersembahan sebelum ketibaan tetamu jemputan bermula pada 7.30 malam.

Tetamu kehormat sambutan itu ialah Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi serta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor turut dijadualkan hadir.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil semalam turut hadir meninjau persiapan sambutan di BCKK dan meluangkan masa beramah mesra dengan sebahagian daripada peserta.

Bernama melaporkan, selain ucapan Perdana Menteri, acara rasmi yang bermula pada jam 8.15 malam itu turut menyaksikan majlis menandatangani Buku Khas Sambutan Hari Malaysia.

Sambutan turut menampilkan persembahan gabungan artis jemputan, muzikal teater serta persembahan final yang melibatkan tiga wilayah, iaitu Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Orang ramai di sekitar Kuching turut berpeluang menyaksikan pertunjukan bunga api di Tebingan Kuching bersempena dengan kemuncak sambutan berkenaan.

Selain acara kemuncak malam ini, pelbagai pengisian turut diadakan, termasuk pameran Sambutan Hari Malaysia yang berlangsung dari 10 hingga 16 September di Plaza Merdeka Kuching.

Dua majlis kesyukuran turut diadakan iaitu Majlis Kesyukuran Agama-Agama Lain pada 14 September di Hotel Pullman dan Majlis Kesyukuran pada 15 September di Masjid Jamek Negeri Sarawak di Kuching.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here