SEGELINTIR pemandu kenderaan perdagangan yang ditahan kerana positif dadah dalam operasi bersepadu Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) mengakui mengambil bahan terlarang itu untuk pemanduan tempoh lama.
Dalam 44 operasi bersepadu terhadap pemandu kenderaan perdagangan di lebuh raya utama seluruh negara sejak April hingga Jun lalu itu, seramai 135 individu termasuk 121 yang positif merupakan pemandu lori.
Pengarah JSPT Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata, pihaknya menjalankan 713 ujian awal saringan air kencing sepanjang tempoh operasi berkenaan dan daripada 135 yang ditahan, hampir 90 peratus membabitkan pemandu kenderaan perdagangan.
“Dalam operasi itu, 135 individu ditahan termasuk 121 pemandu lori dan 14 individu lain. Jumlah ini menunjukkan hampir 90 peratus tangkapan membabitkan pemandu kenderaan perdagangan,” katanya dalam sidang media kejayaan dalam Operasi Bersepadu Menangani Pemandu Kenderaan Perdagangan di Bawah Pengaruh Dadah di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di ibu negara hari ini.
Muhammed Hasbullah berkata, operasi bersepadu itu dijalankan bagi membanteras pemandu kenderaan perdagangan yang memandu di bawah pengaruh dadah yang dijalankan bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Katanya, operasi berkenaan dijalankan di Lebuhraya Utara-Selatan dan Lebuhraya Pantai Timur dengan tumpuan oeprasi membabitkan pemandu treler, lori, bas ekspres, bas pekerja, bas sekolah serta kenderaan membawa bahan bahaya.
“Pemeriksaan juga membabitkan lesen vokasional iaitu Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) dan Lesen Vokasional Barangan (GDL) serta dokumen syarikat. Ia bagi memastikan hanya pemandu yang layak, kompeten dan bebas daripada pengaruh dadah dibenarkan berada di jalan raya,” katanya.
Muhammed Hasbullah berkata, semua 135 individu yang ditahan itu dituduh mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) iaitu 27 individu dituduh mengikut Seksyen 3(1) dan tiga individu mengikut Seksyen 12(2).
“Selain itu, seramai 101 individu mengikut Seksyen 15(1), tiga individu mengikut Seksyen 39A dan seorang mengikut Seksyen 6 ADB,” katanya.
Menurutnya, hasil pemeriksaan turut mendapati dadah jenis methamphetamine paling banyak dikesan dalam kalangan pemandu lori dan ada pemandu dipercayai mengambil bahan larangan kerana tempoh pemanduan yang lama.
Katanya, semua syarikat pengangkutan dan pengusaha kenderaan perdagangan juga disaran membuat pemantauan termasuk ujian saringan awal air kencing secara berkala terhadap pemandu masing-masing.






