POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan, penggunaan lampu amaran atau siren bukanlah kebenaran untuk pemandu kenderaan itu mengabaikan peraturan lalu lintas termasuk lampu isyarat merah atau mengetepikan keselamatan pengguna jalan raya lain walaupun dalam situasi kecemasan.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata, penggunaan lampu amaran khas pada sesebuah kenderaan adalah tertakluk kepada Jadual Keenam (Kaedah 24B), Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Pembinaan dan Penggunaan) 1959.

Beliau berkata, mana-mana kenderaan yang tiba di lampu isyarat perlu memastikan keadaan benar-benar selamat sebelum meneruskan perjalanan, walaupun menggunakan lampu amaran (beacon) dan siren.
“Sesiapa saja tidak boleh melebihi daripada undang-undang. Malah dalam sesi libat urus kita sudah menyatakan dengan jelas, mana-mana kenderaan walaupun (dalam situasi) kecemasan, apabila sampai di lampu isyarat, kita kena pastikan pengguna jalan raya lain dalam keadaan selamat dulu, kemudian baru kita boleh ‘cross‘ (meneruskan perjalanan).
“Ada satu kes sebelum ini pemandu ambulans didakwa. Ini bermakna mereka tidak boleh ‘simply‘ (sesuka hati) menggunakan lampu beacon dan siren untuk melanggar lampu isyarat tanpa melihat kiri dan kanan dulu.
“Keselamatan pengguna jalan raya lain lebih penting,” katanya pada sidang media selepas melawat lokasi kejadian yang mengorbankan tiga beranak selepas dilanggar lori Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di persimpangan lampu isyarat Maju Junction di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur hari ini.
Yang turut hadir, Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa.
Mengulas lanjut, Muhammed Hasbullah berkata, fakta bahawa kenderaan Imigresen berkenaan sedang memberi respons terhadap satu operasi tidak mengecualikan pemandunya daripada mematuhi undang-undang jalan raya.
“Bagaimana mendesaknya keadaan kecemasan itu, apabila tiba di lampu isyarat, pemandu terlebih dahulu perlu memastikan tiada kenderaan sebelum melintas persimpangan,” katanya.
Tambah beliau, kenderaan kementerian atau agensi yang ditubuhkan oleh Kerajaan Persekutuan atau negeri dan menjalankan fungsi penyiasatan serta penguatkuasaan, termasuk Jabatan Imigresen Malaysia, adalah tertakluk kepada ketetapan berhubung jenis dan penggunaan lampu amaran khas sebagaimana diperuntukkan.
Bagaimanapun katanya, kebenaran menggunakan lampu amaran khas atau siren tidak dengan sendirinya memberikan hak keutamaan lalu lintas kepada sesebuah kenderaan.
“Di bawah Kaedah 9, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959, hak keutamaan mengatasi lalu lintas lain semasa menjalankan tugas kecemasan diperuntukkan kepada kenderaan tertentu iaitu ambulans, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Penjara dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Kenderaan-kenderaan berkenaan perlu memberi amaran mengenai kehadirannya melalui siren, loceng atau hon dua nada sebagaimana yang diperuntukkan,” tegas beliau.
Muhammed Hasbullah berkata, pada masa sama, tindakan sengaja menghalang, memblok atau mengikut rapat (tailgating) kenderaan pasukan yang sedang menjalankan tugas dalam mod kecemasan juga boleh dikenakan tindakan mengikut undang-undang.
Dalam pada itu, beliau berkata, PDRM sebelum ini turut mengadakan sesi libat urus bersama agensi penguat kuasa pada 23 Jun lalu bagi memastikan pemahaman dan penyelarasan berkaitan undang-undang jalan raya, termasuk pematuhan Kaedah 24B serta penggunaan warna lampu beacon mengikut spesifikasi ditetapkan.





