PDRM teliti hukuman lebih berat ke atas pemandu bawah pengaruh alkohol

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) sedang meneliti cadangan untuk memperketatkan hukuman terhadap pesalah memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah berikutan had kepekatan alkohol dalam darah (BAC) bagi pemandu di negara ini kekal ditetapkan pada kadar 0.05 peratus selaras dengan indikator Kementerian Kesihatan.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata, perkara itu telah dibincangkan di peringkat kepimpinan tertinggi PDRM dengan mengambil kira pelaksanaan undang-undang di beberapa negara seperti Taiwan dan Singapura yang mengenakan hukuman lebih tegas terhadap pesalah.

“JSPT turut mengadakan perbincangan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memperkemaskan sistem mata demerit supaya tindakan yang dikenakan memberi impak lebih besar terhadap pesalah.

“Antara cadangan yang sedang diteliti ialah membatalkan lesen memandu perdagangan dan lesen memandu individu yang melakukan kesalahan serius. Cadangan untuk memperketatkan hukuman ini juga akan dikemukakan kepada kerajaan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammed Hasbullah berkata, syarikat perdagangan yang menggaji pemandu perlu bertanggungjawab sekiranya didapati cuai memastikan pekerja mereka bebas daripada penyalahgunaan dadah atau alkohol.

Katanya, JSPT juga sedang membangunkan sistem profil melibatkan pemandu, syarikat dan kenderaan bagi memperkukuh penguatkuasaan pada masa hadapan sebelum cadangan berkenaan dikemukakan kepada kerajaan.

“Kita berharap semua pengusaha syarikat terbabit melaksanakan ujian saringan dadah secara berkala terhadap pemandu mereka, sama ada pada setiap minggu atau sekurang-kurangnya sebulan sekali.

“Ini merupakan tanggungjawab mereka dalam memastikan keselamatan pengguna jalan raya,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img