Rakyat Malaysia di Jeddah, Makkah selamat susulan amaran kecemasan

RAKYAT Malaysia yang berada di Jeddah dan Makkah dilaporkan berada dalam keadaan selamat selepas pihak berkuasa Arab Saudi mengeluarkan amaran kecemasan berhubung potensi bahaya di beberapa kawasan di bahagian barat negara itu, semalam.

Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah, Tengku Mohd Dzaraif Raja Abdul Kadir berkata, pihak konsulat telah mengambil langkah memaklumkan rakyat Malaysia mengenai arahan keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Arab Saudi.

Menurut beliau, grafik rasmi daripada Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi turut disebarkan melalui kumpulan WhatsApp rakyat Malaysia di Wilayah Hijazi bagi memastikan maklumat keselamatan dapat disampaikan dengan segera.

“Alhamdulillah di Jeddah dan Makkah semuanya baik. Kita ada edarkan grafik daripada Kementerian Dalam Negeri Saudi dalam kumpulan WhatsApp rakyat Malaysia di Wilayah Hijazi,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor NST.

Beliau pada masa sama mengingatkan rakyat Malaysia supaya tidak panik dan mengelakkan penyebaran video berkaitan situasi tersebut kerana perbuatan berkenaan boleh dikenakan tindakan di Arab Saudi.

Amaran kecemasan itu melibatkan Jeddah, Makkah dan Taif, dengan penduduk diminta berlindung serta mematuhi arahan keselamatan rasmi yang dikeluarkan pihak berkuasa.

Menurut laporan Anadolu Ajansi, Platform Amaran Awal Kebangsaan bagi Kecemasan Arab Saudi mengeluarkan arahan berkenaan ketika konflik antara Arab Saudi dan kumpulan Houthi di Yaman dilaporkan semakin meningkat, termasuk beberapa serangan menggunakan peluru berpandu dan dron.

Sementara itu, Pengerusi Qasswa Travel and Tours (M) Sdn Bhd, Datuk Mohd Najib Alwi berkata, urusan ibadah umrah yang telah dirancang pihaknya masih diteruskan kerana setakat ini tiada arahan pembatalan daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.

“Agensi kami menggunakan visa umrah dan sehingga kini tiada sebarang pembatalan. Jika kementerian itu membatalkan, kami akan turuti,” katanya.

Beliau berkata, pihak agensi akan terus memantau perkembangan keselamatan serta mendapatkan maklumat terkini daripada muassasah, selain mematuhi nasihat yang dikeluarkan Kementerian Luar.

Mohd Najib dijadualkan berlepas bersama jemaah bagi menunaikan ibadah umrah pada 21 September ini.

Katanya, sekiranya berlaku perubahan terhadap perjalanan, termasuk pembatalan penerbangan, kebiasaannya jadual penerbangan akan dipinda ke tarikh lain.

Beliau turut memaklumkan bahawa syarikat penerbangan yang digunakan agensinya, Malaysia Airlines dan Turkish Airlines, sentiasa mengambil kira perkembangan keselamatan sebelum membuat sebarang keputusan berkaitan penerbangan.

Dalam perkembangan sama, Wisma Putra memaklumkan, pihaknya sedang mengikuti situasi berkenaan secara dekat dan memantau perkembangan terkini susulan amaran yang dikeluarkan pihak berkuasa Arab Saudi.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here