Polis sahkan identiti pemancing ditemukan lemas dalam kejadian bot karam

POLIS hari ini mengesahkan identiti mayat seorang pemancing dilaporkan hilang sejak Ahad lalu yang ditemukan terapung di perairan Hutan Melintang, Perak hari ini.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, hasil pengecaman waris mengesahkan mayat berkenaan ialah Mohd Sharil Abd Rahman, 43, salah seorang daripada tiga mangsa yang dilaporkan hilang.

Beliau berkata, pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) menerima maklumat berhubung penemuan mayat lelaki itu daripada sekumpulan nelayan di lokasi berkenaan kira-kira jam 8.30 pagi.

“Mayat dibawa oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) ke Jeti Hutan Melintang untuk tindakan selanjutnya.

“Mayat akan dihantar ke Hospital Shah Alam untuk proses bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Media hari ini melaporkan penemuan satu mayat dipercayai mangsa tragedi bot karam berhampiran perairan sempadan Perak dan Selangor pagi ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintenden Mohd Rahimi Zainol dilaporkan berkata, mayat berkenaan ditemukan dalam keadaan terikat pada sebuah tong.

Empat daripada tujuh pemancing yang dilaporkan hilang ditemukan selamat di perairan Sekinchan pagi semalam.

Mangsa adalah Mohd Shairazi Abdul Aziz, 43; Muhd Hamiszar Punirain, 45; Mohd Rizal Mohamad Sadali, 45, dan Zulfikalnain Awang, 47.

Isnin lalu, polis menerima laporan berhubung kehilangan tujuh lelaki tempatan yang keluar memancing dari Jeti Sementa, Sungai Kapar, Klang pada Ahad, 13 September kira-kira jam 8.20 pagi dan tidak pulang seperti dijadualkan.

Sementara itu, Ramsay berkata, operasi SAR bagi mengesan dua lagi mangsa masih diteruskan secara bersepadu oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Maritim Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta beberapa agensi lain.

“Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Dua lagi pemancing yang masih belum ditemukan ialah Muhammad Ridzuan Ruhaizat dan Raja Mohd Rozi.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here