SEORANG wanita tempatan berusia awal 20-an ditahan selepas disyaki menyerang anggota polis menggunakan pisau ketika proses tangkapan di Chan Sow Lin, pada 10 September lalu.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, laporan polis dibuat pada jam kira-kira jam 3.45 petang hari sama berhubung kejadian berkenaan.
Katanya, suspek berbangsa Melayu itu bertindak agresif ketika proses tangkapan dengan mengambil sebilah pisau sebelum menyerang anggota polis yang sedang menjalankan tugas.
“Hasil semakan lanjut mendapati suspek tidak mempunyai rekod lampau. Ujian saringan awal air kencing ke atas suspek juga disahkan positif dadah jenis ketamin,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Rosdi berkata, suspek direman selama empat hari bermula 11 hingga 14 September lalu bagi membantu siasatan sebelum didakwa pada 14 September.
Katanya, wanita itu dituduh mengikut Seksyen 324 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan.





