PERSATUAN Pegawai Integriti Bertauliah atau Association of Certified Integrity Officer (ACeIO) terus memperkukuh peranannya dalam membangunkan komuniti profesional integriti di Malaysia menerusi pelancaran Portal ACeIO.
Ia merupakan sebuah platform digital bersepadu yang menghimpunkan pengurusan keahlian, pembangunan kompetensi, perkongsian ilmu, maklumat, berita serta komunikasi profesional dalam satu ekosistem.
Portal tersebut telah dilancarkan oleh Pengarah Kanan, Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin bersama Pengerusi ACeIO Datuk Ahmad Sabri Mohamed, bersempena sesi kunjung hormat kepimpinan ACeIO ke MACA pada Isnin lalu.
Portal ACeIO boleh diakses melalui aceio.org.my dan dijangka menjadi platform utama yang menghubungkan komuniti yang kini terdiri daripada lebih 3,000 Certified Integrity Officers di seluruh Malaysia.
Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada aspirasi ACeIO untuk membentuk sebuah komuniti profesional integriti yang lebih tersusun, dinamik dan berdaya saing, di samping menyediakan akses yang lebih mudah kepada maklumat serta peluang pembangunan profesional secara berterusan.
Antara fungsi utama portal adalah pengurusan maklumat keahlian, hebahan latihan dan program pembangunan kompetensi, perkongsian artikel dan bahan ilmiah, berita serta aktiviti ACeIO, maklumat berkaitan integriti dan tadbir urus, serta saluran komunikasi yang dapat menghubungkan ahli dengan kepimpinan persatuan.
Menurut Mohamad Zamri, pembangunan platform digital seumpama ini merupakan satu langkah positif dalam memperkukuh jaringan profesional pegawai integriti dan memperluaskan akses kepada pengetahuan serta pembangunan kompetensi.
“Dalam persekitaran integriti dan tadbir urus yang sentiasa berkembang, pegawai integriti perlu mempunyai akses kepada pengetahuan, latihan dan jaringan profesional yang berterusan. Portal ACeIO merupakan satu inisiatif yang baik untuk menghubungkan komuniti Certified Integrity Officers serta memperkukuh perkongsian ilmu dan amalan terbaik dalam bidang integriti,’’ katanya.
Beliau turut menekankan bahawa hubungan antara MACA dan ACeIO mempunyai potensi besar untuk diperkasakan melalui kerjasama dalam pembangunan kompetensi, perkongsian kepakaran, program latihan, wacana profesional dan inisiatif berkaitan integriti serta pencegahan rasuah.
“MACA sentiasa terbuka untuk meneroka ruang kerjasama yang dapat memberikan nilai tambah kepada pembangunan profesional pegawai integriti. Kita mahu melihat komuniti integriti yang bukan sahaja mempunyai pengetahuan dan kompetensi, tetapi juga mampu menjadi pemangkin kepada budaya integriti dan tadbir urus yang lebih kukuh dalam organisasi masing-masing.”
Sementara itu, Ahmad Sabri berkata portal tersebut mencerminkan komitmen ACeIO untuk bergerak seiring dengan perkembangan teknologi dan keperluan semasa komuniti profesional integriti.
Menurut beliau, ACeIO mahu memastikan setiap ahli bukan sahaja menjadi sebahagian daripada sebuah persatuan, tetapi turut mempunyai akses kepada jaringan profesional, ilmu, peluang pembangunan kompetensi dan perkembangan terkini dalam bidang integriti dan tadbir urus.
“Kita melihat ACeIO sebagai sebuah jaringan profesional yang mampu menjadi force multiplier kepada agenda integriti negara. Dengan kekuatan lebih 3,000 Certified Integrity Officers, kita mempunyai satu komuniti yang besar dan berpotensi untuk memainkan peranan lebih signifikan dalam memperkukuh integriti serta tadbir urus organisasi di Malaysia,’’ katanya.
Pembangunan Portal ACeIO diketuai oleh Ketua Biro Pengukuhan Kompetensi ACeIO, Farizal Muzaffar Hafiz Abdul Wahab, dengan penglibatan dan sokongan barisan Jawatankuasa ACeIO.
Kerjasama dan penglibatan pelbagai pihak dalam pembangunan portal ini mencerminkan pendekatan ACeIO yang menekankan kolaborasi, perkongsian kepakaran dan pembangunan kapasiti secara bersama.
Pelancaran Portal ACeIO juga menandakan satu lagi langkah penting dalam usaha memperkukuh hubungan strategik antara MACA dan ACeIO, khususnya dalam pembangunan profesionalisme pegawai integriti.
Kerjasama tersebut berpotensi merangkumi bidang seperti pembangunan kompetensi, latihan dan pendidikan, perkongsian ilmu, penyelidikan, penerbitan, seminar dan wacana integriti, perkongsian amalan terbaik serta pelbagai inisiatif yang dapat memberikan impak kepada agenda integriti dan pencegahan rasuah.
ACeIO percaya bahawa pengukuhan integriti memerlukan pendekatan yang bersifat kolektif dan berterusan. Justeru, sinergi antara institusi pembangunan integriti seperti MACA dengan komuniti profesional seperti ACeIO mampu menjadi pemangkin kepada pembentukan ekosistem integriti yang lebih kukuh, responsif dan mampan.
Dengan pelancaran Portal ACeIO, persatuan ini beriltizam untuk terus memperkasakan komuniti Certified Integrity Officers serta menyediakan platform yang dapat menyokong mereka dalam melaksanakan tanggungjawab integriti secara lebih profesional dan berkesan.
Portal ACeIO boleh diakses melalui aceio.org.my.





