Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah akan kembali ke istana bagi menyelesaikan kemelut berhubung kedudukan baginda.
Bercakap kepada media di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), baginda mengucapkan terima kasih atas sokongan diberikan kepadanya.
“(Saya) nak ucap terima kasih atas sokongan yang kuat,” titah baginda.
Ditanya sama ada baginda akan kembali ke istana, Tuanku Muhriz menjawab: “Balik istana, mana nak pergi lagi.” Ditanya adakah kepulangan baginda bagi menyelesaikan isu yang berlaku, Tuanku Muhriz menjawab, “Ya, insya-Allah, insya-Allah. Terima kasih semua ya.”

Keberangkatan pulang baginda dari luar negara disambut lebih 300 orang terdiri daripada ahli beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Turut menyambut baginda ialah Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz
Perhimpunan itu dikatakan dianjurkan oleh beberapa pertubuhan termasuk PROFANS, Waris Dato Siamang Gagap, Waris Negeri Sembilan dan Pekan.
Ia sebagai tanda sokongan kepada Tuanku Muhriz yang sedang berhadapan isu proklamasi penurunan baginda sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.
Bagaimanapun malam ini, Jabatan Peguam Negara (AGC) menegaskan Proklamasi mengenai kedudukan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan tidak sah kerana tidak patuh kehendak mandatori Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.
Sehubungan itu dalam satu kenyataan AGC menegaskan, pewartaan atau apa-apa tindakan pelaksanaan Proklamasi tersebut adalah menjadi suatu tindakan yang tidak sah kerana tidak berperlembagaan.





