DUA lelaki ditahan selepas 760 liter air ketum dan 355 kilogram daun ketum dianggarkan bernilai hampir RM40,000 dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Batu 7, Jalan Gambang, Kuantan, Selasa lalu.
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, serbuan menerusi Op Taring Mitra kira-kira jam 11 pagi itu dijalankan pegawai dan anggota Cawangan Risik Ibu Pejabat Briged Tenggara PGA.
Katanya, operasi dilakukan selepas menerima maklumat berhubung aktiviti disyaki memproses dan menjual air ketum di rumah terbabit.
“Dua suspek berusia 33 dan 43 tahun ditahan dalam serbuan itu.
“Pemeriksaan lanjut di dalam rumah berkenaan menemui dan merampas 760 liter air ketum, 355 kilogram daun ketum serta peralatan yang digunakan dalam kegiatan berkenaan,” katanya.
Ahmad Radzi berkata, soal siasat awal mendapati salah seorang suspek dipercayai terbabit sebagai tukang merebus dan membungkus air ketum sejak 2024 dengan menerima upah RM200 sehari.
Katanya, bungkusan air dan daun ketum yang ditemui dipercayai digunakan untuk aktiviti memproses dan menjual bahan berkenaan.
“Kedua-dua tangkapan bersama semua barang rampasan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya.
Beliau berkata, risikan dan pemantauan akan terus dipergiatkan bagi mengesan serta membanteras kegiatan berkenaan di sekitar daerah Kuantan, selain mengenal pasti rangkaian bekalan yang terbabit.





