SEBANYAK 798 kes tangkapan pendatang asing tanpa izin (PATI) direkodkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sepanjang 2023 hingga Mei lalu, membabitkan 2,898 individu.
Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, warga Indonesia, Myanmar dan Vietnam merupakan antara PATI paling ramai ditahan dalam tempoh berkenaan.
Menurutnya, seramai 1,043 PATI warga Indonesia ditahan, diikuti Myanmar (789), Vietnam (505), Filipina (282), Thailand (158), Kemboja (57), India (24) dan Bangladesh (15).
Katanya, tangkapan turut membabitkan 15 individu tanpa negara (Palauh), lapan tanpa negara (Bajau), Laos (seorang) dan Sudan (seorang).
“Kemasukan PATI melalui laluan laut bukan sahaja memberi implikasi kepada keselamatan negara, malah berpotensi dikaitkan dengan jenayah rentas sempadan lain seperti pemerdagangan orang, penyeludupan dadah dan aktiviti jenayah terancang,” katanya.
Sehubungan itu, Mohd Rosli berkata, APMM akan terus memperkukuhkan kawalan sempadan maritim negara melalui operasi penguatkuasaan berterusan, kerjasama antara agensi serta penggunaan teknologi pemantauan yang lebih berkesan.





