Keupayaan Najib bayar denda RM50 juta di luar kawalan – Peguam

KEUPAYAAN bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membayar denda RM50 juta sebagai syarat tahanan rumah adalah di luar kawalannya kerana kebanyakan asetnya masih tertakluk kepada perintah pembekuan dan prosiding penguatkuasaan, kata peguamnya.

Di bawah pengampunan bersyarat yang diberikan pada Jumaat lalu, bekas Presiden UMNO itu akan menjalani baki hukumannya secara tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda tersebut.

Firma guaman Tetuan Shafee & Co yang mewakili bekas Perdana Menteri itu berkata, pengampunan bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim membolehkan anak guamnya menjalani baki hukuman secara tahanan rumah.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan bagi pihaknya hari ini, Tetuan Shafee & Co berkata, Najib sedang mempertimbangkan pilihannya tentang cara terbaik untuk memenuhi syarat tersebut.

Firma itu berkata, Najib kekal di Penjara Kajang sementara syarat itu sedang diuruskan dan pasukan guamannya sedang mengkaji terma pengampunan bersyarat itu serta implikasi praktikalnya.

“Sebahagian besar aset, akaun bank dan hartanahnya kekal tertakluk kepada perintah pembekuan dan prosiding penguatkuasaan oleh kerajaan, dan pelupusannya pada masa ini bukan di bawah kawalan mutlaknya,” kata kenyataan firma itu.

“Oleh itu, keupayaannya untuk memenuhi syarat tersebut, sebahagiannya bergantung kepada perkara yang bukan di dalam tangannya sendiri.”

Najib turut merakamkan penghargaan kepada mereka yang menawarkan bantuan bagi memenuhi syarat RM50 juta itu, kata peguamnya.

Bagaimanapun, mereka berkata, beliau tidak mahu ahli UMNO, penyokong atau orang awam berasa terbeban atau terpaksa membantunya.

Beliau tetap amat berterima kasih kepada mereka yang sepenuhnya atas kehendak sendiri dan mengikut kemampuan masing-masing, telah memilih untuk menawarkan sokongan dan bantuan, kata firma itu.

“Kebaikan mereka adalah sumber kekuatan besar buat beliau pada masa ini,” katanya lagi.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here