Lelaki Bangladesh mengamuk di KLIA dihantar ke wad psikiatrik

SEORANG lelaki warga Bangladesh yang bertindak agresif serta mengganggu penumpang lain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang pada Khamis lalu, dibawa ke Hospital Kajang untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Ravi Munusamy berkata, lelaki berusia 26 tahun itu bertindak menjerit dengan nada tinggi dan mengganggu penumpang ketika berada di kaunter syarikat penerbangan di Terminal 1 kira-kira jam 4.40 petang.

“Lelaki berkenaan dijadualkan menaiki penerbangan pulang ke Bangladesh pada 10.20 malam hari kejadian.

“Pihak kawalan keselamatan terminal tiba di lokasi bagi menenangkan keadaan kemudian membawanya ke Balai Polis KLIA.

“(Bagaimanapun) ketika tempoh bertenang, suspek tidak dapat mengawal diri dan bertindak agresif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ravi berkata, lelaki itu dibawa ke Hospital Kajang dan ditempatkan di wad psikiatrik bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Katanya, pihak kedutaan Bangladesh turut dimaklumkan mengenai kejadian itu.

Ravi dalam pada itu menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian berkenaan bagi mengelakkan penyebaran berita tidak benar yang boleh menimbulkan kegusaran di tempat awam, khususnya di Terminal 1 dan Terminal 2 KLIA.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here