Polis siasat video insiden petugas KTM bergaduh dengan penumpang

POLIS sedang menyiasat dan mengenal pasti punca kejadian pergaduhan dipercayai membabitkan kakitangan di Stesen KTM Komuter Labu di Nilai dengan seorang penumpang.

Berdasarkan kepada video yang tular dan turut dilaporkan sebuah portal media, kejadian berkenaan dipercayai berlaku susulan kelewatan ketibaan tren sehingga lebih empat jam.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Johari Yahya berkata, pada jam 3.45 petang semalam, Ibu Pejabat Daerah (IPD) Nilai mengesan video terbabit yang tular dalam aplikasi TikTok.

“Video berdurasi satu minit 36 saat itu memaparkan pergaduhan membabitkan dua lelaki di Stesen Komuter Labu.

“Susulan itu, satu laporan dibuat Ketua Polis Balai Labu pada jam 4.26 petang semalam dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Johari berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca pergaduhan, mengesahkan tarikh dan masa sebenar kejadian serta menentukan pembabitan kedua-dua individu berkenaan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan kerana tindakan itu boleh menjejaskan siasatan dan menimbulkan kegusaran awam.

Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian, diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bilik Gerakan IPD Nilai di talian 06-790 4222, atau mana-mana balai polis berhampiran.

Berdasarkan video itu, seorang warga emas bertanyakan mengenai kelewatan tren kepada kakitangan bertugas, tetapi dijawab dengan nada dan jawapan kurang menyenangkan.

Susulan itu, seorang penumpang lelaki menegur kakitangan berkenaan sehingga menyebabkan berlaku pergaduhan.

Sementara itu, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memaklumkan akan melakukan siasatan berhubung kejadian terbabit.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here