POLIS Diraja Malaysia (PDRM) akan menempatkan van balai polis bergerak di hadapan kediaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Jalan Langgak Duta di ibu negara bermula jam 7 pagi esok.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Anuar Bakri Abdul Salam berkata, van berkenaan ditempatkan bagi mengadakan kawalan sepanjang proses pemindahan Najib dari penjara ke kediaman, selain memastikan keselamatan di sekitar kediaman.
“Van bergerak ini bukan untuk tujuan kawalan Datuk Seri Najib 24 jam. Van itu untuk kawalan semasa proses kembali beliau ke rumah dan memantau para pemberita keluar dan jiran-jiran dan penyokong bagi mengelak berlaku sebarang kekacauan.
“Polis tidak diarahkan untuk mengawal keselamatan Datuk Seri Najib sebelaiknya penempatan van balai polis bergerak itu untuk kawalan keselamatan semasa, proses memindahkan beliau selepas bayar denda nanti dari penjara ke rumahnya,” katanya ketika dihubungi, lapor Buletin TV3.
Beliau turut memaklumkan van balai polis bergerak itu sudah ditempatkan hari ini, namun akan beroperasi secara rasmi bermula esok.
Mengulas mengenai status kediaman yang akan dijadikan lokasi tahanan rumah Najib, Anuar Bakri memaklumkan setakat ini tiada sebarang pengesahan rasmi mengenai kediaman berkenaan.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan salah satu kediaman rasmi Najib yang kemungkinan akan menjadi lokasi tahanan rumah adalah di bawah tanggungjawabnya.
“Salah satu rumah rasmi Datuk Seri Najib di bawah tanggungjawab Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul.
“Biasanya polis akan meletakkan satu penyelia bersama dua anggota dan dibantu juga oleh unit kereta peronda (MPV),” tambahnya.
Beliau turut memaklumkan tugas pengawasan ke atas Najib terletak di bawah tanggungjawab Jabatan Penjara.
“Ia terletak dibawah Jabatan Penjara. Sebab semalam pegawai penjara dah datang buat penilaian dan pemeriksaan dan PDRM hanya memudah cara untuk pergerakan Datuk Seri Najib,” katanya.
Tinjauan setakat jam 11 pagi tadi mendapati sebuah van balai polis bergerak dan dua kereta peronda polis berada di kediaman Najib, dengan keadaan di sekitar lokasi kekal tenang.
Pada Jumaat lalu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib bagi membolehkan beliau menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Pengampunan bersyarat itu tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta serta syarat lain yang ditetapkan.





