TIGA lelaki ditahan selepas video mereka membuang air kecil di tepi Lebuhraya Eastern Dispersal Link (EDL), Johor Bahru, tular di media sosial semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Superintendan Ng Swie Chait, berkata laporan polis dibuat pada jam 6.11 petang selepas video berkenaan dikesan dimuat naik di media sosial pada jam 2 pagi semalam.
Beliau berkata, ketiga-tiga suspek berusia antara 28 hingga 36 tahun itu ditahan di sebuah restoran di Taman Maju Jaya, di sini, pada jam 9.30 malam.
“Polis turut merampas sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.
“Seorang daripada tiga suspek mempunyai rekod jenayah lampau. Ketiga-tiga mereka didapati negatif dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan kelucahan melampau, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun jika sabit kesalahan.
Ng Swie Chait berkata, kertas siasatan akan dilengkapkan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya negeri.
Terdahulu, video berdurasi 16 saat yang dimuat naik dalam sebuah kumpulan Facebook memaparkan tiga lelaki berhenti di tepi lebuh raya untuk membuang air kecil, manakala MPV mereka diletakkan dengan lampu kecemasan dipasang.
Video itu dipercayai dirakam oleh seorang pengguna lebuh raya.





