Tanding solo atau berpakat, BN peluang cerah kekal kuasa di Melaka

SIAPAKAH yang akan menjadi pilihan Barisan Nasional (BN) untuk bekerjasama dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak lama lagi.

Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab.Rauf Yusoh sudah menyatakan sebelum ini bahawa gabungan itu akan membuka pintu rundingan untuk membentuk kerjasama apabila Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan.

Khabarnya DUN Melaka akan dibubarkan minggu ini bagi memberi laluan kepada PRN. Tetapi soalnya siapakah pilihan BN untuk dijadikan ‘rakan kongsi’ pada pilihan raya tersebut?

BN ada tiga pilihan sama ada bersama Perikatan Nasional (PN) yang terdiri daripada Pas dan Wawasan sepertimana mereka lakukan di Negeri Sembilan atau bersama Pakatan Harapan (PH) yang merupakan sekutu di pusat atau kalau mahu menjaga hati semua pihak, BN bertanding solo.

Malam tadi, PH sudah bersuara apabila Pengarah Pilihan Raya PH Datuk Seri Amirudin Shari menegaskan, pakatan itu tidak ada masalah bergerak solo pada PRN Melaka selain menyeru BN berterus-terang jika tidak berminat bekerjasama.

Beliau turut mempersoal perkembangan pendirian BN yang sebelum ini dikaitkan dengan beberapa kemungkinan kerjasama.

“Mulanya dia kata macam nak pergi solo, kemudian dia kata nak pergi dengan Pas, lepas itu boleh pula nak pergi dengan PH. Jadi, itu mungkin untuk mengaburi pihak lawan dan kawan,” katanya selepas merasmikan jentera Masjid Tanah, Melaka, malam tadi.

Amirudin berkata, setakat ini tiada ura-ura untuk BN bekerjasama, sambil menyifatkan gabungan tersebut mungkin ‘tidak berminat’.

“Kita tiada masalah kalau tak minat, bagi tahu saja kita teruskan (kerjasama tanpa BN),” katanya.

Katanya, PH bersedia menghadapi pelbagai senario, termasuk bertanding secara solo, membentuk jajaran baharu atau bekerjasama dengan UMNO-BN.

Bagi Perikatan Nasional (PN) yang melibatkan Pas dan Wawasan, mereka juga dikatakan bersedia menerima apa sahaja keputusan BN sama ada bekerjasama atau tidak.

Datuk Seri Anwar Ibrahim sempat meraikan hari jadi ke-65 Datuk Seri Ab.Rauf Yusoh ketika Perdana Menteri berada di Melaka untuk merasmikan Pesta Kebudayaan Cina Malaysia kali ke-41, di Kota Syahbandar, Melaka, malam tadi.

Sumber memberitahu penulis, Pas dan Wawasan sedia bertanding ‘secara solo’ melawan BN dan PH. Maknanya PN dan PH tidak ada masalah jika BN  yang menyifatkan parti itu ‘anak dara yang jadi rebutan’… jual mahal.

Lagipun penulis difahamkan ada ‘gosip-gosip’ menyatakan PH tak kisah kalau BN bertanding solo asalkan jangan bekerjasama dengan PN. Entah betul ke tidak, nama pun gosip.

Tetapi apa yang pasti Ab.Rauf sudah menyelesaikan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) yang dilaksanakan di semua 28 Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka merekodkan hampir 100,000 kehadiran rakyat menerusi 1,981 program dan aktiviti sepanjang pelaksanaannya.

Penulis percaya ia akan memberi kesan kepada tahap sokongan untuk BN di 28 kerusi DUN khususnya di 21 kerusi yang kini dikuasai oleh BN . Dan paling penting boleh meningkat undi di 11 kerusi yang sebelum ini dimenangi dengan majoriti undi bawah 1,000 undi.

Oleh itu berdasarkan sumber, sama ada BN bertanding secara solo atau tidak, SETAKAT INI, BN mampu terus mempertahankan pemerintahan di Melaka. Berapa Jumlah jangkaan kerusi dimenangi oleh BN?…Tunggu  DUN bubar dulu, penulis akan cerita.

Namun setakat hari ini, penulis belum nampak jika BN bertanding solo, PN atau PH dapat menggugat BN. Apapun terserah kepada Ab.Rauf membuat keputusan. Mungkin kemenangan BN dalam  PRN kali ini adalah  hadiah hari jadi bermakna kepada Ab.Rauf yang diraikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.

Bagaimanapun BN jangan selesa kerana apabila DUN dibubarkan, apabila kempen berjalan dan apabila pengundian dilaksanakan keadaan mungkin berbeza. – Selamat Hari Jadi Ke-65, Datuk Seri.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here