Tujuh balai polis Kelantan gagal capai KPI tangkap penagih

TUJUH daripada 56 balai polis di Kelantan gagal mencapai sasaran menangkap sekurang-kurangnya seorang penagih dadah sehari, manakala dua ketua balai sudah menerima surat teguran kerana tidak mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) berkenaan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, pihaknya tidak akan membiarkan mana-mana balai yang gagal merekodkan tangkapan berkaitan dadah dalam tempoh seminggu tanpa tindakan susulan.

Menurutnya, pasukan petugas khas dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan akan diturunkan ke kawasan balai terbabit sekiranya tiada tangkapan direkodkan dalam tempoh berkenaan.

“Mana-mana balai yang tidak capai satu hari, satu kes, kita akan pantau. Kita akan pastikan daripada IPK akan turun di balai kawasan berkenaan.

“Kalau IPK dapat tangkap, ketua balai berkenaan akan kena tindakan. Maknanya tidak buat kerja kalau IPK boleh dapat tangkap,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan IPK Kelantan, hari ini, lapor Sinar Harian.

Mohd Yusoff berkata, setakat ini terdapat tujuh balai di tiga daerah yang dikenal pasti tidak merekodkan sebarang tangkapan dalam tempoh seminggu.

Katanya, alasan seperti sukar mencari suspek atau suspek sudah melarikan diri tidak boleh dijadikan alasan untuk sesebuah balai gagal mencapai sasaran ditetapkan.

“Setakat ini tidak apa. Mereka boleh beri alasan, tetapi task force daripada sini (IPK) akan turun di kawasan balai berkenaan. Kalau ada tangkapan, ketua balai berkenaan akan kena,” katanya.

Mengulas tindakan terhadap ketua balai yang gagal mencapai sasaran, beliau berkata, dua ketua balai setakat ini sudah diberikan surat teguran sebagai langkah awal.

“Saya tidak zalim sangat. Saya bagi tegur dulu, saya hantar surat teguran dulu. Selepas itu barulah tindakan,” katanya.

Beliau berkata, ketua balai terbabit turut diberikan tempoh untuk memperbaiki pencapaian dan memenuhi KPI yang ditetapkan.

“Contohlah, katakan sehari seorang. Dalam masa seminggu mesti tujuh orang.

“Kalau hari ini kosong, dia kena pastikan esok dua. Dia hutang satu dengan saya. Hari ini kosong, esok kosong, lusa kosong, tidak bolehlah macam itu,” katanya.

Menurutnya, pencapaian setiap balai akan terus dipantau menerusi statistik yang dibentangkan dalam mesyuarat mingguan.

Tambahnya, terdapat juga balai yang berjaya merekodkan tangkapan melebihi KPI ditetapkan.

“Kita sekarang ini buat pemantauan secara mingguan. Bulan depan, selepas tempoh rintis tiga bulan, kita akan buat post-mortem.

“Kita akan panggil semua ketua balai dan kenal pasti siapa yang tidak dapat capai sasaran serta punca dan sebabnya,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here