Warga India diingatkan tidak guna kemudahan bebas visa untuk cari kerja di Malaysia

WARGA India yang memasuki Malaysia menggunakan kemudahan pengecualian visa 30 hari dinasihatkan supaya tidak mengambil peluang tersebut untuk mencari pekerjaan kerana ia hanya diberikan bagi tujuan pelancongan dan lawatan sosial.

Peringatan itu dikeluarkan Suruhanjaya Tinggi India di Kuala Lumpur susulan peningkatan jumlah rakyatnya yang dilaporkan datang ke Malaysia selepas terpedaya dengan tawaran pekerjaan palsu daripada ejen tidak bertanggungjawab.

Menerusi kenyataan yang dikongsikan di akaun rasmi X, suruhanjaya berkenaan menjelaskan bahawa penggunaan kemudahan bebas visa bagi tujuan bekerja atau mendapatkan pekerjaan merupakan satu kesalahan di bawah peraturan imigresen Malaysia.

Menurutnya, terdapat warga India yang bukan sahaja ditipu dengan janji pekerjaan, malah akhirnya tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan selepas gagal mendapatkan pekerjaan seperti yang dijanjikan.

“Keadaan itu boleh menyebabkan mereka berada dalam status imigresen tidak sah, selain berdepan risiko dieksploitasi, ditahan dan dikenakan tindakan undang-undang,” kata kenyataan itu hari ini.

Suruhanjaya Tinggi India turut menegaskan bahawa individu yang ingin bekerja di Malaysia perlu mendapatkan permit kerja yang sah atau Visa Dengan Rujukan (VDR) sebelum memulakan pekerjaan.

Pada masa sama, pelancong yang benar-benar berkunjung ke Malaysia dinasihatkan memastikan semua dokumen perjalanan dan sokongan berada dalam keadaan lengkap serta boleh disahkan ketika pemeriksaan imigresen.

Antara dokumen yang perlu disediakan ialah tiket penerbangan pulang yang telah disahkan, tempahan penginapan serta bukti penghantaran Kad Ketibaan Digital Malaysia (MDAC) secara dalam talian dalam tempoh tiga hari sebelum ketibaan.

Pasport yang digunakan juga perlu mempunyai tempoh sah sekurang-kurangnya enam bulan bagi mengelakkan sebarang masalah ketika proses kemasukan ke Malaysia.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here