Kontraktor didakwa beri dokumen palsu tuntutan subsidi upah RM275,400

SEORANG pemilik syarikat kontraktor pembinaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Georgetown, hari ini atas pertuduhan mengemukakan dokumen mengandungi pernyataan palsu bagi tuntutan subsidi upah berjumlah RM275,400, dua tahun lalu.

Muhammad Ra’abilshah Samzali, 42, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Irwan Suainbon.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memberikan kepada seorang ejen Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) selaku Perantis Bahagian Insurans Pekerjaan di Putrajaya, dokumen senarai nama pekerja bertajuk SIP Subsidi Upah Bersasar 5.0 bagi tuntutan insentif berkenaan.

Dokumen itu didakwa mengandungi pernyataan palsu mengenai butiran matan apabila senarai nama pekerja berkenaan mengandungi nama individu yang bukan pekerja MRSJ Builders Sdn Bhd, dengan tujuan mengelirukan ejen PERKESO berkenaan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat MRSJ Builders Sdn Bhd, Jalan Sungai Dua, Gelugor, pada 14 Februari 2022.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694), yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai butiran matan yang palsu atau silap, jika butiran itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nurnajihatul Idayu Mohd Azuyar, menawarkan jaminan RM10,000 dengan syarat tertuduh perlu melaporkan diri di pejabat SPRM berhampiran sebulan sekali.

Beliau turut memohon supaya pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah, namun dimaklumkan pasport berkenaan berada pada pihak mahkamah susulan tertuduh didakwa atas pertuduhan lain sebelum ini.

Peguam Muhammad Arif Shaharuddin yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan minimum dengan alasan anak guamnya kini bekerja sendiri dengan pendapatan antara RM7,000 hingga RM10,000 sebulan.

“Dia perlu menanggung isteri dan tiga anak berusia antara setahun hingga lapan tahun.

“Tertuduh turut memberi kerjasama kepada SPRM sepanjang siasatan selain hadir ke pejabat SPRM semalam bagi didakwa hari ini.

“Saya juga mohon mahkamah mempertimbangkan bahawa jaminan bukan berbentuk hukuman, sebaliknya hanya bagi memastikan kehadiran tertuduh,” katanya, lapor Harian Metro.

Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan syarat tambahan yang dimohon pihak pendakwaan.

Kes akan disebut semula pada 2 November depan.

Difahamkan, jumlah tuntutan yang dibuat tertuduh bernilai RM275,400 membabitkan 163 pekerja.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here