Ayob Khan dilantik Pengerusi Lembaga Pengarah UTeM

BEKAS Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang baharu bagi tempoh tiga tahun, berkuat kuasa 16 September lalu.

Pelantikan itu mendapat kelulusan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, sekali gus menyaksikan Ayob Khan menggantikan Datuk Husaini Omar yang tamat tempoh perkhidmatannya.

Menurut kenyataan UTeM, pengalaman luas Ayob Khan dalam bidang kepimpinan dan pengurusan tertinggi diyakini mampu memperkukuh peranan Lembaga Pengarah dalam memastikan hala tuju strategik universiti terus dipacu secara mampan.

“UTeM percaya pengalaman hebat beliau, berpakejkan kewibawaan pengurusan strategik tahap tinggi mampu memimpin Lembaga Pengarah UTeM dalam mendepani cabaran mendatang,” menurut kenyataan itu.

Ayob Khan yang berkelulusan Ijazah Sarjana Teknologi Maklumat dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), mempunyai pengalaman hampir 35 tahun dalam perkhidmatan Polis Diraja Malaysia (PDRM), termasuk memegang beberapa jawatan kanan dalam pasukan keselamatan itu.

Beliau pernah dilantik sebagai Ketua Polis Johor dari 2020 hingga 2022 sebelum meneruskan khidmat sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN).

Seterusnya, beliau dilantik sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) sebelum memegang jawatan Timbalan Ketua Polis Negara pada 2023.

Ayob Khan bersara wajib daripada perkhidmatan PDRM pada Julai 2026 selepas hampir tiga setengah dekad berkhidmat dalam pasukan berkenaan.

Dalam pada itu, UTeM turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Husaini atas segala sumbangan, komitmen dan khidmat bakti sepanjang tempoh beliau menerajui Lembaga Pengarah universiti itu.

Pelantikan Ayob Khan dijangka memberi dimensi baharu kepada kepimpinan strategik UTeM, khususnya dalam memperkukuh tadbir urus, jaringan strategik serta peranan universiti dalam pembangunan pendidikan teknikal negara.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here