Sindiket dokumen dan rekod kerja palsu aktif sejak 3 tahun terbongkar

KEGIATAN menyediakan dokumen perjalanan dan rekod pekerjaan palsu bagi melicinkan kemasukan warga asing ke negara ini terbongkar selepas serbuan Op Serkap di sekitar daerah Klang, semalam.

Dalam operasi kira-kira jam 1.45 petang itu, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor menahan 12 warga asing termasuk dalang utama yang dipercayai mengendalikan kegiatan berkenaan sejak tiga tahun lalu.

Timbalan Pengarah Imigresen Selangor, Mohamad Khusairi Kamarudin berkata, siasatan awal mendapati dalang utama sindiket adalah seorang wanita warga India berusia antara 25 hingga 40 tahun yang memegang Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang melalui hubungan dengan warga tempatan.

Menurutnya, sindiket terbabit dipercayai menyasarkan warga asing dari luar negara dengan menawarkan perkhidmatan bagi memudahkan urusan kemasukan dan keberadaan mereka di Malaysia.

“Modus operandi sindiket ini adalah pelanggan akan dibawa masuk ke Malaysia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

“Mereka kemudian ditempatkan di sebuah rumah transit di sekitar Klang antara seminggu hingga dua minggu sebelum urusan dokumentasi dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sindiket itu turut menyediakan pelbagai dokumen palsu termasuk rekod perjalanan bagi menggambarkan pelanggan mempunyai sejarah perjalanan yang sah dan meyakinkan.

Selain itu, mereka juga dipercayai menghasilkan rekod pekerjaan palsu di Malaysia dengan menyediakan pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara yang dipalsukan.

Menurutnya, kesemua 12 individu yang ditahan membabitkan warga India, Bangladesh dan Sri Lanka kini ditempatkan di depot imigresen bagi membantu siasatan lanjut.

“Siasatan menyeluruh sedang dijalankan bagi mengenal pasti rangkaian sindiket ini termasuk kemungkinan penglibatan individu lain di dalam dan luar negara,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 56(1)(l), Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img