SEORANG lelaki warga Indonesia berusia 49 tahun direman tujuh hari bermula esok bagi membantu siasatan kes disyaki mencabul remaja perempuan berusia 13 tahun di Kalabakan, semalam.
Perintah reman terhadap suspek dikeluarkan Majistret Don Stiwin Malanjum di Mahkamah Majistret Tawau, pagi ini selepas membenarkan permohonan reman dikemukakan Pegawai Penyiasat, Inspektor Rabiatul Adawiyah Japri.
Suspek direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, lapor Buletin TV3.
Semalam, suspek ditahan kira-kira jam 9.45 pagi di kawasan deretan kedai berhampiran Bulatan Kalabakan selepas polis menerima maklumat berhubung kejadian kira-kira jam 4.40 pagi.
Dalam kejadian itu, mangsa yang sedang tidur di sebuah rumah kedai didakwa didatangi seorang lelaki sebelum lelaki terbabit melakukan perbuatan cabul terhadapnya.
Mangsa bagaimanapun sempat menjerit meminta pertolongan dan melawan sebelum suspek cuba menutup mulutnya selain menendang mangsa sebelum melarikan diri.
Siasatan lanjut mendapati suspek tidak mempunyai dokumen perjalanan atau pengenalan diri yang sah untuk tinggal di negara ini.





